Sekadar berkongsi. Copy paste dari email.
Anda ingat lagi kes ini?       
     
     OGOS 2009 , ia menandakan sudah sebulan aku mengikuti perkembangan     masalah histeria melibatkan lebih 30 pelajar di sebuah sekolah di     semenanjung tanah air (maaf, tak perlu sebut nama tempat. saya tidak mahu     lokasi saya dan SHAHi dikesan 'sesetengah orang'). Masalah itu bermula     sejak April 2009 dan terus berlarutan sehingga Ogos tanpa penyelesaian     serta penjelasan yang kukuh. Malah, ia berlaku setiap hari.
    
     Pelbagai teori muncul dari mulut penduduk-penduduk setempat dalam     menghuraikan punca sebenar masalah itu tercetus. Guru-guru juga tidak     terlepas daripada mengutarakan teori-teori mengenai punca terjadinya     serangan histeria di sekolah itu.
    
     Aku pula yang selalu hadir memantau bagi mendapatkan bahan berita di     sekolah itu juga tidak terlepas daripada membuat tanggapan terhadap punca     berlakunya histeria itu. Tanggapan yang aku buat pula hanya bersandarkan     kepada teori-teori penduduk setempat dan guru-guru sekolah itu.
    
     Disebabkan selalu sahaja berita mengenai kejadian itu tersiar di dada     akhbar, nama aku mula menjadi tumpuan sejumlah bomoh, pengamal perubatan     tradisional, pakar psikologi, pakar psikiatri dan pakar perubatan     alternatif. Mereka semua tidak putus menghubungi aku, ada yang mahu     menghulurkan bantuan kepada pelajar sekolah malang itu, ada pula yang hanya     sekadar mahu tahu cerita sebenar dan ada pula bomoh palsu yang hanya mahu     mempergunakan aku untuk meraih glamer di dada akhbar.
    
     Bahkan, ada juga seorang psikik dari Indonesia yang datang menemui aku     untuk menghulurkan bantuan kepada pelajar mangsa histeria di sekolah itu.     Psikik itu ternyata seorang psikik, aku sudah mengujinya dengan modul aku     sendiri. Namun, dia juga tidak berjaya memulihkan keadaan di sekolah itu.     Histeria terus berlarutan.
    
     Sepanjang memantau keadaan di sekolah itu, aku sempat menemui beberapa     pelajar untuk ditemubual sebagai responden berita. Melalui temubual itu,     pelajar-pelajar memberitahu aku bahawa mereka ternampak beribu-ribu makhluk     hitam merayap di atas tanah, di lantai bilik kelas, di atas siling, di     papan hitam dan sebagainya.
    
     Ada pula yang besar setinggi bangunan tiga tingkat, ada yang kecil, ada     yang seperti budak, ada seperti perempuan, ada juga seperti lelaki, semua     makhluk itu berwajah hodoh. Ada juga seperti seorang ‘nenek’ yang gemar     memanjat di belakang pelajar sekolah itu sehingga menyebabkan mereka     terbongkok-bongkok menampung beratnya makhluk seperti nenek itu. Nenek itu     sangat gemar menunggang manusia.
    
     Malah pelajar sekolah itu turut beritahu aku bahawa mereka pernah     mengadakan majlis bacaan Yassin dan doa selamat di sekolah itu untuk     memohon perlindungan Allah daripada gangguan makhluk halus. Menurut seorang     pelajar perempuan yang menceritakan perkara itu kepada aku, dia beritahu     bahawa dia didatangi ‘nenek’ tadi semasa sedang membaca Yassin. Nenek itu     sedikit pun tidak gentar dengan bacaan al-Quran. Nenek itu dengan wajah     bengis membisikkan ke telinga pelajar itu: “La ila, La ila, La ila..” yang     bermaksud ‘Tiada tuhan, tiada tuhan, tiada tuhan..” sebanyak berkali-kali     dengan suara menakutkan. Pelajar itu ketakutan ketika tiada siapa melihat     perkara yang dia sedang lihat ketika itu. Dia kemudian diserang histeria     ketika majlis doa selamat itu.
    
     Namun, kisah itu tidak aku laporkan dalam laporan akhbar kerana berasa     kekok untuk menceritakan semuanya dengan terperinci. Kini, dengan ikhlas     aku lapor kepada pembaca blog ini semua.
    
     Pelbagai usaha sudah dilakukan untuk menamatkan episod histeria di sekolah     itu, sudah berpuluh-puluh juga bomoh dan pengamal perubatan tradisional     datang tampil untuk membantu tetapi gagal. Pada masa yang sama juga,     berpuluh-puluh lagi menelefon aku untuk menyatakan mereka mahu menghulurkan     bantuan. Kemudian setiap panggilan telefon seterusnya, aku minta mereka     berhubung terus dengan pengetua sekolah. Aku sudah penat melayan mereka     semua kerana aku juga ada tugas lain yang harus disempurnakan.
    
     Kemudian pada September, seorang alim dari Perak menghubungi aku. Dia     memperkenalkan dirinya sebagai Pak Ku (bukan nama sebenar) dan menyatakan     kesediaannya untuk membantu pelajar sekolah itu menyelesaikan masalah     histeria. Katanya, dia bukan pengamal perubatan, dia juga bukan bomoh, dia     hanya mahu membantu. Keikhlasannya terpancar jelas walaupun kami hanya     bercakap melalui telefon pada ketika itu. Aku setuju, kemudian aku     menghubungi pengetua sekolah itu dan menyatakan niat murni Pak Ku.
    
     Selang dua hari selepas itu, Pak Ku tiba di sekolah itu dan mahu berjumpa     dengan aku untuk menyatakan terima kasih atas bantuan yang aku berikan. Aku     tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah itu untuk melihat proses pengubatan     yang dilakukan Pak Ku. Aku hanya menunggu dari luar pagar.
    
     Aku ingin melihat, lalu aku telefon pembantu Pak Ku menggunakan Video Call     3G dan aku menyaksikan pengubatan yang dilakukan Pak Ku. Biasa saja kaedah     pengubatan Pak Ku, tak ada yang istimewa. Hanya sekadar membaca ayat     al-Quran dan menghembus pada segelas air, lalu dipercikkan ke ubun-ubun     pelajar yang terkena histeria.
    
     Beberapa jam kemudian ketika aku sedang duduk di luar pagar sekolah, aku     lihat Pak Ku mengekori seorang pelajar perempuan yang sedang dalam keadaan     histeria (sampuk). Budak perempuan itu membawa Pak Ku ke satu kawasan dan     menuding jari ke arah satu sudut. Kemudian dari jauh aku lihat Pak Ku     berubah menjadi sedikit terkejut dengan benda yang ditunjukkan budak     perempuan itu kepadanya. Pak Ku membaca sesuatu dan menyapu kepala budak     itu dengan air, budak itu rebah dan kemudian dipapah guru-guru wanita.     Budak perempuan itu adalah murid terakhir yang disembuhkan pada hari itu.
    
     Pak Ku kemudian bertemu semua ibu bapa pelajar berkenaan dan menyampaikan     pesanan mengenai cara mengelak anak mereka ‘diserang’ lagi pada masa akan     datang. Apabila kelihatan seperti selesai semuanya, Pak Ku melangkah keluar     dari pagar sekolah dan bertemu dengan aku.
     
     “Dah beres ke Pak Ku?” aku tanya.
     “Belum. Malam ini, Pak Ku nak hang ikut Pak Ku. Itu pun kalau hang tak ada     urusan lain malam ni.” kata Pak Ku dalam dialek Perak Utara.
     “Insya-Allah. Lagipun isteri dan anak saya ada di kampung hari ni. Boleh     saja nak ikut Pak Ku, tapi pukul berapa nak jumpa?” aku balas.
     “Kita jumpa solat Maghrib sama-sama nanti di masjid depan tu.” kata Pak     Ku.
     Menjenguk dari luar tingkap     
    
     Malam itu selepas selesai solat Maghrib, Pak Ku berpesan kepada aku supaya     menjaga wuduk supaya tidak terbatal. Pak Ku juga berpesan supaya aku     berniat dalam hati untuk terus pergi ke masjid untuk menunaikan Isyak     apabila tiba waktu.
    
     Pak Ku membawa aku ke belakang sekolah itu, dia duduk di sebelah kanan aku     dan pembantunya di sebelah kiri aku.
     
     “Pak Ku nak tunjuk satu perkara kat hang. Tapi Pak Ku pesan, jangan langkah     ke depan atau ke belakang. Tetap berdiri tegak, jangan bergerak-gerak.     Banyakkan bertasbih dan jadikan hati tak sabar nak menunaikan Isyak pula     selepas ini.” pesan Pak Ku.
    
     Aku mengangguk tanda faham walaupun aku sebenarnya kurang faham tujuan Pak     Ku. Kemudian Pak Ku membaca ayat-ayat suci al-Quran dan diakhiri     ‘sodaqollah-hul-azim’.
     Pak Ku kemudian melafazkan:
     
     “Kamu juga makhluk Allah. Kami juga makhluk Allah, tapi kami khalifah yang     beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya,     kitab-kitab-Nya dan semua janji-janji-Nya. Aku berserah kepada Allah, Maha     pencipta yang menciptakan ‘kamu’ dan kami. Perlihatkan anak Adam ini dengan     dunia kamu, dengan kalimah La-ila-ha-illallah.” lafaz Pak Ku.
    
     Selepas kata-kata itu dilafazkan, terlihat seperti ada tingkap. Semakin     lama, semakin luas bukaannya. Aku lihat ada perempuan cantik menanggalkan     pakaiannya satu persatu di depan mataku. Kemudian aku sayup-sayup terdengar     suara Pak Ku berulang kali memesan ‘jangan melangkah walau setapak’.     Terdengar suara Pak Ku begitu jauh sekali walaupun hakikatnya Pak Ku hanya     duduk beberapa inci di sebelahku.
    
     Aku lihat ada dunia di belakang wanita itu. Ramai juga dayang-dayangnya     yang cantik-cantik. Ada juga ular  jinak berlingkar-lingkar di     kaki wanita yang sudah tidak berpakaian itu. Aku tetap berpegang kepada     pesanan Pak Ku, jangan bergerak walau setapak.
    
     Kemudian aku terdengar suara wanita itu seperti dia berbisik ke telingaku     walaupun bibirnya sedikit pun tidak bergerak: “ Kamu manusia yang     menginginkanku, aku berikan segala yang kamu mahu, melangkahlah ke arah ku     ,” itu bisikan yang menyusup deras ke pangkal jiwa, sekadar yang aku     masih ingat.
    
     Perlahan-lahan, wajah wanita muda itu bertukar hodoh. Ular jinak tadi pula     semakin ganas seperti mahu membaham aku.
    
     Sayup-sayup, aku terdengar satu suara seperti memanggil-manggil jiwaku.     Suara itu sebati dengan niatku sebelum itu. Tingkap itu terus tertutup     sedikit-demi sedikit, sempat juga terlihat ‘anak-anak kecil’ berlari     menyusup masuk ke tingkap yang sedang tertutup itu. Terasa belakangku     ditepuk, aku dengar suara Pak Ku membisikkan dua kalimah syahadah di     telingaku. Kemudian, aku terasa seperti terjaga daripada lena.
    
     Pak Ku kemudian membaca sesuatu dan melontar beberapa ketul batu bersama     pembantunya ke arah kawasan yang aku menghadap tadi.
     
     “Jom kita pergi sembahyang Isyak,” itulah peringatan Pak Ku sebaik aku     ‘terjaga’.
    
     Selesai solat Isyak, Pak Ku menceritakan perkara sebenar kepada aku.     Menceritakan mengenai perkara yang aku lihat sebentar tadi tetapi tidak     faham.
     
     “Pak Ku suruh hang jaga wuduk supaya hang tak disentuh makhluk tadi. Pak Ku     suruh hang kuatkan azam untuk tunaikan solat Isyak supaya azan Isyak yang hang     dengar tadi itu dapat panggil jiwa hang daripada terus terbuai dengan     godaan syaitan. Niat untuk tidak mahu tinggalkan waktu Isyak itulah yang     menguatkan jiwa hang.   
     
     “Jiwa hang terpanggil oleh azan tadi disebabkan hang niat nak solat dengan     ikhlas. Syaitan tak mampu goda manusia kalau manusia tu ikhlas. Itu senjata     kita” kata Pak Ku.
     
     “Yang tadi tu syaitan?” aku tanya.
     
     “Ya. Itu syaitan yang sangat benci manusia dan selalu mahu menyesatkan     manusia. Dia (syaitan) berusaha untuk goda dengan cara tadi (menjelma     wanita berbogel) sebab dia tahu isteri hang tak ada di rumah. Sebab dia     tahu hang rindu isteri hang.   
     
     “Tapi mujur hang tak melangkah walau setapak. Sebab kalau hang melangkah     walau setapak tidak kira ke depan atau ke belakang pada masa tu, hang akan     melangkah masuk ke dunia ‘dia’. Kita manusia ni dilarang masuk ke dunia dia     (syaitan). Yang hang tengok tadi cuma dari luar pintu. Hang tak masuk pun     dalam dunia tu.,” kata Pak Ku.
     
     “Tapi, kenapa Pak Ku buat macam tu. Saya tak mintak pun Pak Ku tunjuk semua     tu kat saya,” aku menyoal.
     
     “Pak Ku buat macam tu sebab Pak Ku nak bagi peluang hang tengok apa yang     sebenarnya ada di belakang sekolah ni. Sebab Pak Ku yakin, hang takkan     melangkah masuk. Atas sebab tu Pak Ku bagi peluang kat hang,” kata Pak Ku.    
     
     “Sebelum saya sedar tadi, ada ‘benda’ macam budak-budak kecil berlari masuk     ke situ. Apa benda tu? Lepas tu, apa yang Pak Ku lontar batu?” aku     tanya lagi.
     
     “Itu juga syaitan, jin. Lontar batu tu sebagai tanda benci kepada syaitan,     tapi tak sama macam melontar di Mekah. Lontar tu sebagai amaran supaya dia     jangan ganggu anak Adam lagi. Makhluk-makhluk kafir tu lari masuk ke dunia     dia selepas dengar azan Isyak. Pak Ku pilih waktu antara Maghrib dengan     Isyak sebab waktunya pendek. Kalau Pak Ku ambil waktu antara Isyak dengan     Subuh, itu nampaknya hang kena tahan godaan dalam tempoh yang lama. Lagi     pula kalau wuduk terbatal antara waktu yang panjang tu, maka lagi senanglah     dia nak goda.   
     
     “ Pak Ku buat ni sebab dapat rasa yang hang ni susah nak percaya kat     bomoh-bomoh tipu yang hanya nak ambik kesempatan atas hang untuk glamer di     surat khabar. Pak Ku buat ni sebagai nak bagi hadiah atas kesudian hang     bagi peluang kat Pak Ku untuk tolong budak-budak ni. Terima kasih sebab     percaya dengan niat Pak Ku. Tak perlu tulis cerita Pak Ku cuba ubati     budak-budak sekolah ni dalam surat khabar,” jelas Pak Ku.
    
     Kemudian Pak Ku beritahu aku, dia tidak mengubat orang. Dia hanya mahu     menolong budak-budak sekolah itu yang mahu belajar dan terganggu setiap     kali ada kejadian histeria. Dia tidak pandai mengubat orang, dia hanya     ‘menyuruh benda itu’ balik ke dunia mereka. Itu saja. Kata Pak Ku, dia     tidak pandai mengubat saka, dia juga tidak pandai mengubat santau, tetapi     dia boleh melihat dan berunding dengan makhluk-makhluk itu. Tetapi juga,     dia hanya boleh berunding dengan makhluk-makhluk halus yang tidak ada     perjanjian dengan manusia. Aku sukar mempercayainya, tetapi Pak Ku sudah     buktikan kepada aku. Itu kelebihan yang Pak Ku ada.
     Kes selesai 
    
     Seminggu kemudian, masalah histeria itu berakhir. Jika ada yang     tertanya-tanya bagaimana isu histeria di sekolah itu berakhir, Pak Ku lah     orang yang menamatkannya dengan izin Allah. Aku pula sudah tidak perlu lagi     berulang-alik ke sekolah itu untuk melapor berita yang aku sudah bosan menulisnya     setiap hari. Aku sudah boleh memberi tumpuan kepada berita-berita lain     terutama berita jenayah yang sangat aku suka tulis.
    
     Pengalaman itu juga membuktikan bahawa azan mempunyai kuasa dalam     mensejahterakan jiwa. Wuduk juga mempunyai kuasa sebagai perisai pertahanan     diri daripada godaan syaitan. Niat yang mahu ke jalan Allah juga mempunyai     kuasa yang akan menjadikan jiwa sebati dengan segala suruhan-NYA. Semua itu     akan berkoordinasi dengan harmoni dalam tubuh manusia, menjadikan kita     sedar tujuan kita diciptakan. Aku sudah merasainya, tapi sukar untuk aku     buktikannya.
    
     Sekali lagi, tidak ada bukti logik dalam perkara kuasa azan, wuduk dan     niat. Tetapi, suara azan lah yang memanggil jiwa aku supaya sedar dengan     niat aku sebelum itu. Ketika azanlah aku melihat ada ‘anak-anak’ berlari     menyusup masuk ke alam itu. Aku juga tidak paksa pembaca semua percaya,     mungkin ada yang kata ini hanya cerita karut. Jika karut bagi anda, maka     terpulanglah.
    
     Jangan pernah takut setiap kali melihat syaitan, jin atau     hantu…makhluk-makhluk itu akan tersenyum bangga apabila mengetahui manusia     berasa lebih takut kepada mereka melebihi rasa takut kita kepada Allah.
    
     Hanya takut kepada Allah…