Great stuff to be shared together...

Daisypath Anniversary tickers

Wednesday, November 13, 2013

Rumpai Berkhasiat Perubatan Part I

Banyak tumbuhan yang tumbuh meliar sekeliling rumah sebenarnya mempunyai khasiat perubatan. Selalunya kita anggap sebagai rumpai je. Ye lah, tumbuh tak ditanam. Cabut-cabut buang. Padahal banyak kajian saintifik dah dibuat membuktikan khasiat tumbuhan ini. Tadi saya berjalan-jalan sekeliling rumah sambil menyemai pecah beling, belalai gajah dan selasih. Terfikir pulak nak merekodkan rumpai-rumpai dalam blog.

Gelang Pasir
Nama saintifik: Portulaca oleracea L. 
Nama lain : Rumput beremi, remilang, pucuk sepit
Khasiat : Meredakan bengkak, sakit, darah beku, antiradang dan bahan tonik. Rumput yang segar ditumbuk dan diperah digunakan utnuk merawat radang apendiks. Campuran dengan daun ekor angin kemudian direbus digunakn untuk merawat kencing berdarah. Boleh juga digunakan untuk merawat demam dan jantung berdebar. Menurut Dedaun Alam, rumput ini juga boleh menghilangkan ketagihan merokok, menyembuhkan asma dan merawat paru-paru. Tumbuhan ini boleh dijadikan ulam, salad, dan urap. Yang ni pun arnab suka. Tapi saya pernah terbaca, tumbuhan ni tak boleh diambil berlebihan sebab boleh melemahkan syahwat. Banyak tumbuh berkeliaran sekeliling rumah. Gemuk-gemuk pula tu.. tapi kami tak pandai gunakannya. Hehehhe.

Ketumbit
Nama saintifik : Ageratum  conyzoides
Nama lain: Rumput tahi ayam, tahi babi, tahi anjing (kenapa semua kait dengan tahi ni? Tahulah rumpai ni busuk. Hahaha!), Billyweed, goat weed (sebab katanya bau seperti bau kambing jantan). 
Khasiat : Berguna sebagai stimulan, tonik, meredakan demam, antitoksik, meredakan bengkak, menghentikan pendarahan, perangsang haid, pelawas kencing, dan merangsang pembuangan angin. boleh dijadikan sebagai insektisid berasaskan tumbuhan. Patutlah serangga tak kacau pokok ni. Tapi penggunaannya perlu berhati sebab tumbuhan ni ada unsur racun sikit. Ada kajian sanitifik tentang penggunaan tumbuhan ni untuk merawak epilepsi. Air rebusan ketumbit kering pula digunakan untuk merawat malaria. Daun dan batang yang ditumbuk digunakan untuk merawat rambut.

Peria Hutan.
 Nama saintifik : Momordica balsamina (tak sure sangat ni)
Khasiat : Merawat luka, buasir, antibakteria, anti-HIV. Tidak baik untuk wanita mengandung. Penggunaan berlebihan boleh menyebabkan kematian. So be careful.

Rumput Itik
Nama saintifik : Asystasia gangetica micrantha
Nama lain: Rumput israel, ara songsang, akar ruas-ruas, pengorak
Khasiat : Mengubat gigitan serangga dengan menggunakan daun yang dilumat, melawaskan kencing, melegakan bisa-bisa tulang. Kalau di rumah, rumput ni kami beri pada arnab. Memang favorite diorang ni.

Cypress Vine
Nama saintifik : Ipomoea quamoclit
Nama lain : Cupid's flower, Indian pink, cardinal vine, hummingbird vine
Khasiat : Cooling and purgative (laxative), daun yang ditumbuk digunakan untuk merawat bahagian buasir. juga digunakan dalam merawat kanser dan kesakitan payudara.

Gubahan Alam

Tuesday, November 12, 2013

Salam semua.. Apa khabar agaknya sahabat-sahabat maya saya. Saya baru baik demam. Satu family demam. Eh, banyak family demam sebenarnya. Mula-mula last week kakak telefon beritahu yang ayah tak sihat. Demam, batuk, semput, tak dapat tidur. Makin lama makin teruk sampai mengerang-erang masa tidur. Beberapa kali bawa ke klinik. Mulanya doktor cakap angin je. Bawa lagi doktor cakap gastrik. Bawa ke perubatan Islam, katanya gangguan jin. Ada orang nak main-main katanya. Tapi penyakitnya tak juga kurang. Ayah pula nampak makin lemah. Saya berhajat nak balik ke kampung sehari selepas sessi dialisis. Tiket keretapi pun dah dibeli.

Sesungguhnya manusia hanya mampu merancang. Pada malam sebelum saya pulang ke kampung, suami saya mengalami muntah-muntah dan cirit birit. Nak kata keracunan makanan, apa yang kami makan sama. berkali-kali dia ke bilik air sampai ke tahap susah nak bangkit daripada katil. Hati saya waktu tu galau tak terkira. Betullah kesihatan, tenaga dan kekuatan itu hanya pinjaman. Dia yang sebegitu tough and strong, tiba-tiba mengerang-erang kesakitan. Saya sms emak saya, minta maaf tak dapat balik kampung. Keluar bilik terserempak dengan MIL katanya adik ipar bongsu pun mengalami masalah sama. Hari itu hari pertama SPM. Kasihannya...Kemudian bapa mertua saya pula diserang cirit birit dan muntah-muntah. Macammana saya nak tinggalkan orang-orang sakit ni? Waktu tu, mak kata ayah dah ok sikit. Jadi ada rasa lega walaupun keluarga di segamat semua demam.

Esoknya, orang-orang sakit beransur pulih, tapi saya dan ibu mertua pula mengambil alih. Simptom yang sama. Saya naik hairan mana datang isi perut yang keluar sebab kami tak lalu nak makan apa-apa. Ibu mertua ke klinik tapi doktor bilang sebab angin juga. Hai, tak tahu pula angin boleh berjangkit. Cukup mengecewakan apabila doktor enggan mendengar penerangan kami. Rupa-rupanya, dua orang kakak ipar saya pun demam. Disyaki pembawa virus ni, anak buah kami, Nasrudin, sebab dia yang mula-mula kena muntah-muntah dan tak mahu makan. Mungkin dapat dari hospital sebab mereka baru pulang dari hospital berjumpa pakar paediatrik.

Kelmarin, sedang saya berbaring cuba menghilangkan rasa sakit-sakit badan, tiba-tiba kakak menelefon lagi. Katanya ayah dimasukkan ke wad kecemasan. Saya sudah mula memikirkan yang tidak-tidak. Tidak boleh tidak saya mesti balik ke kampung. Suami mengeluh kakinya sakit diserang gout. Mungkin antibodi lemah selepas demam menyebabkan penyakit lama berulang. Tapi saya mesti tahu keadaan ayah dengan mata saya sendiri. Dua jam perjalanan dirasakan terlalu lama. Sampai di Hospital Segamat lingkungan pukul 4 petang, ayah masih lagi di rawat di wad kecemasan. Mata mak merah sebab menangis. Taufik, adik lelaki yang berpraktikal di Melaka pulang untuk menghantar ayah ke hospital kerana ayah tak mahu orang lain yang menghantarnya. Farhan, adik bongsu saya kebetulan ada juga di rumah tapi dia tak pandai memandu. Mak kata, semalamnya ayah dah dibawa lagi ke klinik tapi disuruh datang lagi pada hari Isnin untuk ujian darah. Tapi keadaan ayah nampak semakin lemah, jadi ayah dipujuk ke hospital sebab kemudahannya lebih lengkap. Ayah tak nak mulanya, tapi selepas dirayu dengan air mata emak, akhirnya ayah menurut. Dalam pukul sepuluh pagi ayah dibawa ke hospital. Mak kata, bila sampai di hospital tiba-tiba keadaannya makin teruk. Agaknya ayah risau atau takut.

Tak lama selepas itu ayah dipindahkan ke unit rawatan rapi tapi kami belum dibenarkan melawat kerana doktor masih lagi perlu memantau dan memeriksa. Saya risau dengan keadaan emak sebab daripada pagi belum makan dan berehat. Ada orang menyapa, katanya ayahnya pun dimasukkan ke ICU sebab sesak nafas. Katanya lagi, ramai orang dimasukkan ke hospital kerana sesak nafas sejak akhir-akhir ni. Jadi, masalah 'ANGIN' juga ke wahai doktor sekalian? Dalam pukul 5 atau enam, Kaklong sampai dari Kulai. Emak balik sekejap ke rumah. Lebih kurang pukul 7.30 malam barulah kami dipanggil untuk diberitahu tentang kondisi ayah dan juga melihat ayah sekejap kerana sudah habis waktu melawat. Kami diberitahu, badan ayah terlalu banyak air, paru-parunya dipenuhi air sebab tu ayah mengalami kesukaran bernafas. Jadi ayah diberi ubat untuk mengeluarkan air melalui kencing dan juga ditidurkan supaya dapat berehat. Keadaan ayah kritikal dan perlu bantuan pernafasan. Sebenarnya ini kali kedua ayah dimasukkan ke ICU. Kali pertama lebih kurang 6 tahun lepas kerana masalah jantung tersumbat. Cuma pada waktu tu, ayah sedar dan boleh berbual dengan kami.

Saya terpaksa balik ke Rengam sebab perlu menjalani hemodialisis. Mujurlah Acah, adik saya yang bekerja di Terengganu balik. Dapatlah juga menemani emak dan membantu menyelesaikan kerja-kerja di rumah. Alhamdulillah, semalam ayah dah mula sedar namun masih belum stabil. Hari ini juga masih belum stabil, tapi ayah dah sibuk nak pergi ke kebunnya. Tanya pasal keretanya, tanya pasal anak-anaknya. Hal lain juga yang disibukkannya.. Ayah... ayah.. Semoga keadaan ayah semakin pulih dan kembali ceria. Saya yakin setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Semoga Allah mengurniakan kesihatan kepada ayah dan memberikannya pahala di atas dugaan ini. Amiiin..