Great stuff to be shared together...

Wednesday, June 11, 2014

In Loving Memory

Salam semua.. Pheww.. such a long hiatus.. Banyak perkara berlaku. Saya cuba beri peluang pada diri sendiri untuk mengambil masa secukupnya untuk bangkit semula. So, here I am, better, even not fully recover.

Saya sangka saya bersedia untuk kehilangan Ayah pada usia yang sudah agak dewasa. Guess I was totally wrong. Terlalu banyak memori bersama Ayah terutamanya pada awal pemergiannya. Kalau keseorangan, mudah air mata ini mengalir. Saya lambat rapat dengan Ayah sebab semasa remaja saya agak rebellous. Semakin beranjak dewasa, barulah saya mula faham ayah. Dulu selalu rasa Ayah tak sayang rupa-rupanya sebab Ayah percaya dan yakin pada saya. Detik saya mula 'mengenali' Ayah ialah bila saya perkenalkan boyfriend (kini suami). Ayah terus suka  dan seronok. Siap beritahu sedara mara yang saya akan sambung generasi Jawa yang semakin hilang dalam famili. Macam dah confirm je akan jadi menantu dia. Selepas saya berkahwin Ayah dan hubby jadi bestfriends. Ayah orangnya pendiam dan hanya ramah dengan orang tertentu. Suami saya pun macam tu. Tapi bila diorang berdua berjumpa, boleh pula berborak sampai lewat malam. Kata bapa mertua saya, 'tune' diorang sama.

Ayah orangnya romantik dan sentimental. Suka dengan lagu keroncong. Makan tak cerewet dan selalu puji Mak pandai memasak. Ayah selalu bilang, "Angah belajar masak dengan Mama (panggilan ayah pada Mak). Ayah untung sebab Mama masak sedap". Ayah tak makan ikan pari tapi sesekali dia beli juga sebab anak isterinya suka makan. Kalau anak-anak balik berkumpul, Ayah selalu beli ikan patin atau baung, suruh Mak masak gulai tempoyak. Berebut kitorang makan. Suami yang tak makan tempoyak pun jadi makan tempoyak. Dalam peti sejuk selalu ada makanan kegemaran kitorang. Selalu ada air Bliss, susu coklat, buah anggur, Twister dan macam-macam lagi. Untuk saya selalu ada coklat. Selalu ayah akan bagi hint, "Angah tak buka peti lagi hari ni?". Masa musim durian Ayah akan borong yang terbaik dalam seguni dua. Selalu saya serba salah sebab saya tak boleh makan banyak durian. Walaupun dah dewasa dan dah jadi mak orang, Ayah masih belikan baju raya. Ayah layan kami macam masa kecik-kecik dulu. Mungkin Ayah tak perasan kami dah dewasa.

Satu perkara yang istimewa tentang Ayah, instinct Ayah kuat. Pernah satu masa kami sekeluarga keluar ke bandar. Ayah turun sekejap cari barang kami semua tunggu saja dalam van. Lepas tu kami bertekak suruh salah seorang turun beli air yogurt Bliss tapi semua malas sebab cuaca panas. Surprise, surprise. Ayah datang bawa air Bliss! "Fuyooo! Macam tahu-tahu je Ayah ni?". Ayah selamba je jawab, "Ayah tahulah.." Pernah satu masa Ayah outstation, adik saya Acah waktu tu dalam 4-5 tahun cakap pada Mak,"Mak, akak rasa nak makan anggur la". Tup-tup masa ayah balik, ayah bawa anggur. Mak kata 'link' antara Ayah dengan Acah agak kuat sebab hanya masa Mak bersalinkan Acah je Ayah ada tunggu. Tapi dia jugalah yang suka bergaduh dengan Ayah.. Ayah pergi pun sehari sebelum hari jadi Acah. Reminder telefon ayah berbunyi mengingatkan hari jadi Acah. Sekarang saya yang guna HP ayah. Semua hari jadi ada dalam reminder. Ayah tak pernah lupa wish birthday kami walaupun hanya dengan sms "Happy Bday". Ya, my father was a man with few words. Terus terang saya katakan saya masih tak percaya yang ayah dah tiada. Dalam hati ni Ayah macam pergi outstation je.

Belasungkawa Nordiana binti Nordin 

Dua bulan selepas pemergian ayah, salah seorang kawan baik saya pula telah kembali ke rahmatullah iaitu Nordiana Nordin. Rasanya saya pernah tulis pasal dia. Dia meninggal dunia kerana kanser yang semakin merebak ke dari payudara ke paru-paru, otak, darah, hati dan tulang. Saya sempat berjumpa beberapa hari sebelum kematiannya. Saya sangat terkejut sebab orang yang dulu agak gempal tinggal tulang dan kulit saja. Matanya tertutup sebelah, ada benjolah di kepala dan pertuturannya kurang lancar. Alhamdulillah waktu tu dia masih kenal saya. Pertuturannya agak tak selaras dengan apa yang dia fikirkan. Kadang-kadang dia terlelap sekejap waktu berbual. Tapi kata orang itulah keadaan dia yang paling baik sebab most of the time dia akan mengerang kesakitan. Saya seboleh-bolehnya tak mahu menangis melihat keadaannya. Diana ni adalah jenis manusia yang terlampau baik yang jenis tak reti nak menolak kalau orang minta tolong. Jadi tak hairanlah sewaktu dia sakit ramai orang datang melawat tak kira jauh dan dekat. Saya tak percaya dia ni ada musuh kecuali orang yang pilih jadi musuh dia tu ada sakit mental. Diana agak lambat bertemu jodoh tapi saya percaya kerana Allah nak bagi jodoh yang terbaik buatnya. Suami yang setia menjaga dan mengasihinya sehingga ke akhir hayat. Orang yang baik sentiasa meninggalkan kenangan yang baik, dan mendapat balasan yang baik juga. Diana meninggal pada hari Jumaat dalam keadaan yang tenang dikelilingi suami, keluarga dan sahabat-sahabatnya.

Belasungkawa Abdul Wahab Abdul Rahman

Selepas menziarah jenazah Diana di Muar, saya pulang ke Segamat dan disambut pula dengan pemergian salah seorang jiran saya sewaktu tinggal di Palong Timur, Encik Wahab. Hubungan kekeluargaan kami agak rapat sebab saudara sebelah isterinya merupakan anak angkat datuk saya. Mereka juga merupakan jiran kami di tempat tinggal sekarang. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan yang sama dengan ayah. Nampaknya mereka berjiran sehingga ke alam kubur. Saya pernah melakukan latihan industri di Kilang Sawit Palong Timur, dan Encik Wahab inilah yang selalu menunjuk ajar dan menemani saya mengambil sampel untuk ujikaji. Sikapnya agak gila-gila sedikit tapi menghiburkan hati. Saya agak terkejut dengan pemergiannya sebab baru juga berjumpa waktu dia menziarahi pengkebumian Ayah. Punca kematiannya disebabkan kesan sampingan kemalangan yang menjejaskan jantungnya.

Ramai lagi orang yang satu-persatu meninggalkan dunia yang fana ini. Ada yang rapat yang tidak. Ada yang dekat ada yang jauh. Di tempat tinggal ibu bapa saya saja lebih 10 orang meninggal dalam tempoh 2 bulan (ada antaranya masuk surat khabar). Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan tergolong dalam golongan orang-orang soleh. Peringatan kepada kita yang masih hidup, kematian itu pasti.


No comments: