Great stuff to be shared together...

Daisypath Anniversary tickers

Friday, February 24, 2012

Cita-Cita Saya

Hehe...relevan ke topik hari ni? Macam topik budak sekolah je kan?

Memang topik budak sekolah pun.. Saya ambil upah salin perancangan mengajar kakak saya. Adalah satu tema tu pasal cita-cita saya. Biasalah, tema wajib kan?

Dulu, masa kecil-kecil, cita-cita pertama saya ialah nak jadi cikgu. Lama saya dengan cita-cita tu. Tapi bila cikgu tanya, saya cakap nak jadi doktor. Tak tahu kenapa saya jawab tu.. Bila saya sekolah menengah, saya beritahu kawan, saya nak jadi cikgu. Tapi ramai yang cakap, "Cikgu? Cikgu tu biarlah jadi pilihan yang terakhir". Saya masa tu tak matang. Terhasut la juga. So saya tukar jadi ahli botani. Sebab saya memang minat pokok-pokok.

Sementara tunggu SPM keluar, saya ushar-ushar kursus yang ada. Yang mana yang patut saya ambil untuk jadi ahli botani. Sayangnya kursus yang ada sangat terhad untuk lepasan SPM. Saya pun ambil keputusan untuk jadi jurutera kimia. Sebabnya mudah, kerana saya rasa saya suka kimia.

Sudahnya, lain jadinya. Bila keputusan dah keluar, saya belek balik, kejuruteraan kimia tak ditawarkan untuk lepasan SPM. Yang ada hanyalah kimia industri. Saya pun isi jelah. Asalkan kimia kan? Tak matang sungguh. Masa buat first degree ni, ada rupanya bidang yang ada kaitan dengan botani iaitu Kimia Hasilan Semulajadi. Saya dengan bersemangat ambil subjek ni. Rupa-rupanya, jiwa saya bukan di sini. Susah sangat nak masuk dalam kepala otak saya. Sudahnya saya drop subjek dan tukar dengan Forensik. Sikap saya yang suka mengkaji dan memerhati nampaknya lebih sesuai dengan Forensik. Tapi tak mungkin saya bekerja dalam bidang ni sebab saya sangat geli dengan benda yang mengerikan (salah satu sebab tak nak jadi doktor).

Selepas tamat pengajian ijazah pertama, lama saya menganggur. Saya tak tahu apa yang saya mahu. Clueless kata orang. Dengan takdir Tuhan, saya dipertemukan dengan Prof Halimaton Hamdan, salah seorang pensyarah di Fakulti Sains UTM tempat saya belajar dulu. Semasa undergraduate, saya tak pernah sekalipun belajar dengan beliau. Terus terang saya sangat takut nak berjumpa dengannya. Tapi syukurlah, kerana beliau lah saya terjebak dengan bidang yang baru iaitu Nanoteknologi. Dan saya agak sukakannya.

Namun, setelah sekian lama, barulah saya mengenali diri dan jiwa saya yang sebenar-benarnya. Saya sukakan kimia dan nanoteknologi. Tapi saya juga sangat cintakan buku. Saya ingin suatu hari nanti rumah saya akan dipenuhi dengan buku-buku. Dan saya memasang impian baru iaitu ingin memiliki kedai buku sendiri. Saya berjanji akan cuba merealisasikan impian saya, tidak kiralah berapa lama pun masa yang akan saya ambil untuk mencapainya. InsyaAllah.

Thursday, February 23, 2012

Benci

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, BENCI bermaksud TIDAK SUKA. Salahkah wujud rasa benci?

Orang kata, jangan benci-benci nanti sayang. Kalau betul, baguslah. Saya harap suatu hari nanti saya akan mempunyai perasaan yang lebih positif terhadap mangsa kebencian saya.

Kenapa saya benci? Sebenarnya saya susah untuk benci orang. Sangat susah. Saya cuba bersangka baik. Tapi susah bila banyak sangat yang negatif-negatif terhidang. Baru nak suka, timbul balik keburukan. Hati saya kotor dan bermasalah ke?

Adakah kita tidak berhak membenci? Faktor kebencian saya biasanya kezaliman dan hipokrasi. Sekarang ni saya benci betul dengan beberapa orang. Masalah saya, bila saya benci, habis semua sisi dirinya saya kaji. Dari hal ehwal masa kini dan masa silam. Ke saya yang kejam?

Harap-harap benci boleh jadi sayang. Cerca jadi doa.

Actually, I hate to hate (Gambar Sumber deviantart.com)







   

Hati Siti (Bahagian 2)


Halim meneliti segenap ruang mencari sebarang petunjuk arah kepergian Siti. Matanya terpandang sebuah bagasi di sebalik pintu. Ada lega yang meresap ke hatinya.

'Alhamdulillah, Siti belum pergi. Di atas bagasi tersebut terdapat sebuah fail. Hati Halim berbelah bahagi, sama ada patut atau tidak. Perasaan ingin tahunya terlalu mendesak, lalu fail itu dibuka. Beberapa buku kecil terjatuh menimpa kaki Halim. Salah satunya segera dikenali sebagai passport Siti. Halim lebih tertarik pada buku comel berwarna ungu. Di dalamnya terisi dengan puisi-puisi karya beberapa penulis yang disalin semula. Kegemaran Siti, barangkali. Dia membelek secara rambang sehingga tiba ke muka surat dengan coretan tanpa nama penulis.

DUHAI KEKASIH, NANTIKAN AKU,
TERIMALAH AKU BERSERTA RINDUKU,
JASAD DAN NYAWAKU HANYA UNTUKMU.

Apa benar telahan dan prasangkanya bahawa Siti bakal pergi. Meninggalkan semuanya demi cintanya. Memberi gelaran Si Dayus buat Halim? Tegarnya Siti.

Halim membuka lembaran demi lembaran. Kali ini terdapat coretan yang lebih panjang. Halim berharap mendapat petunjuk yang lebih jelas.

Aku tidak takut mati
Kerana aku sudah lama mati
Cinta pertama mati,aku juga mati
Cinta kedua pergi, aku mati lagi.
Kusangka harapan rupanya angan
Tersisih aku merana dan kecewa.
Aku lepaskan semua yang kumahu, yang ku rindu,
Meninggalkan kelongsong kosong yang kuusung,
Untuk menemui-Nya cinta yang agung,
Mengakhiri kisahku yang murung.

'Tuhan, aku bukan pujangga. Apa ertinya semua ini?'. Perkataan mati yang berkali-kali diulangi menikam-nikam tangkai jantung Halim. Mungkin awalnya Siti cuma mahu pergi dari sini, tapi kemudiannya beralih niat. Apakah kerana 'cinta kedua' yang mengecewakannya. Kerana itu bagasinya masih di sini. Kerana tidak ada apa yang boleh dibawa jika mahu ke alam sana. Dia meraup muka berkali-kali.

'Siti...' hati Halim berbisik. Istighfar meniti di bibir berulang-ulang. Dalam kegalauan dia berdoa memohon agar tiada musibah menimpa Siti. Deruman enjin kereta membuatkan jantung menendang-nendang sangkar rusuknya. Siapa? Dijengah dari balik tingkap. Kereta orang tuanya. Kehilangan Siti sudah pasti menimbulkan curiga mereka. Perlahan dia membuka pintu membenarkan mereka masuk. Ada seseorang bersama mereka. Halim memanjangkan lehernya melihat kelibat di tempat duduk belakang. Siti kah?

Mira dengan wajah sugul keluar dari perut kereta diikuti oleh Amanda. Barangkali disoal siasat oleh Mak dan Ayah. Entah kenapa Halim berasa kecewa. Wajah ibu bapanya kelihatan keruh dan tegang. Halim kaku di muka pintu. Hanya mampu melihat kedua ibu bapa masuk dan melabuhkan punggung di sofa. Terdengar Mira berbisik kepada Amanda bertanya di mana letaknya dapur. Kemudian kedua-duanya menghilang di balik langsir dapur.

"Halim, ada berita pasal Siti?" ibunya, Rahmah bertanya lembut. Halim hanya mampu menggeleng. 
"Kamu berdua bergaduh ke?" soal ayahnya pula. Ada nada keras di situ. Halim menggeleng lagi. Dia benar-benar buntu. 
"Ada kamu telefon dia?" tanya ibunya lagi. Halim bungkam. Dia terlalu ingin menghubungi Siti, tapi nombor telefonnya pun dia tidak tahu. Malah dia langsung tidak tahu sama ada Siti mempunyai telefon bimbit ataupun tidak. Tidak tidak pernah mengambil tahu siapa kawan-kawan Siti. Siti sememangnya asing baginya. Dia melihat kedua ibubapanya saling berpandangan dan berbisik-bisik. Di wajah tua mereka jelas garis-garis kerisauan.

Entah kenapa rasa bersalah yang semakin bersarang di kalbu Halim begitu menyesakkannya. Tiba-tiba dia rasa begitu berdosa. Dia takut kalau-kalau prasangka-prasangkanya benar. Dia menjadi begitu pesimis mendepani situasi tidak tersangka itu. Takut-takut dia tidak sempat menebus kesilapannya pada Siti. Amanah tinggalan saudaranya sendiri. Hatinya merayu-rayu pada Yang Esa agar diberi kesempatan.

"Abang menangis?" Halim tersentak. Dia tunduk apabila tiga pasang mata serentak memandangnya. Cepat-cepat dia mengesat air matanya dengan belakang tangan. Dia tidak mampu menafsir erti renungan Mira. Namun Halim yakin Mira mengerti isi hatinya. Halim terpana apabila melihat Mira tiba-tiba melutut di kaki Mak dan Ayah.

"Mak. Ayah. Ini semua salah Mira. Mira tamak dan pentingkan diri. Mira halang Abang jalankan tanggungjawabnya pada Siti. Mira cuma mahukan Amanda, tapi Mira menolak Siti. Maafkan Mira Mak, Ayah." Mira mula mengongoi sambil menarik dan mengucup tangan Puan Rahmah. Puan Rahmah membelai-belai rambut Mira dengan lembut.

" Kalau apa-apa jadi pada Siti, memang semua salah Mira. Mira jahat," Mira terus mengongoi.
"Sudahlah tu, Mira. Kita manusia ni memang mudah melakukan kesilapan. Mungkin salah kami yang beria-ia mahukan Halim berkahwin dengan Siti. Kami terlupa akan perasaan Mira. Tapi Mak yakin yang Siti takkan buat perkara yang bukan-bukan," pujuk Puan Rahmah. Halim kagum dengan ketenangan ibunya. Dalam situasi itu dia menjangkakan orang tuanya akan melenting dan marah-marah. Halim membuang pandang ke luar rumah, jauh merentas hingga ke hujung pandang. Matanya tertancap pada sebuah teksi yang baru berhenti. Hatinya berdebar-debar. 

"Siti!" Sepatah ucapannya membuatkan suasana berubah. Dia tidak tahu apa yang patut dilakukan. Bagaimana caranya menyambut kepulangan orang yang dinanti? 

"Yeay! Ibu dah pulang." Amanda meluru memeluk Siti yang sudah mendepangkan dadanya. Seperti sudah bertahun tidak berjumpa lagaknya anak beranak itu. Siti tersenyum dan menghulurkan tangan untuk menyalami Halim. Terasa begitu kekok namun disambut dan digenggam erat. Mira terus memeluk Siti dan berkali-kali meminta maaf. Siti terkaku kehairanan. 

"Maaf Mak, Ayah. Siti terlambat sikit. Ada apa-apa yang Siti tak tahu ke?" ujar Siti sambil menyalami kedua mertuanya. Terlalu hairan dia. Suaminya di muka pintu dengan mata berair. Mira pula meminta maaf dengannya. 

"Terlambat? Maksud Siti, Siti tahu kami ada di sini?" tanya Encik Samad.
"Amanda telefon Siti. Katanya Atuk dan Nenek nak datang. Siti ada hal dekat luar tadi. Alhamdulillah semua dah selesai."
"Amanda ada nombor telefon Siti? Bertuah betul budak ni.." Kata Encik Samad sambil mencubit pipi Amanda. Aanda hanya tersengih girang. Seronok benar dengan kepulangan ibunya.
"Urusan apa yang misteri sangat ni Siti? Sampai tak beritahu suami? Tengok, sampai berjurai air mata diorang berdua tu," kata Puan Rahmah. Siti tertawa kecil. Dia mencuri pandang melihat wajah suaminya yang sentiasa tertunduk sejak dia sampai.
"Err.. Salah Siti, Mak. Siti beritahu ada urusan je. Sebenarnya Siti tiba-tiba rasa nak balik kampung ziarah kubur Mama dan Papa Siti. Lepas tu pergi tengok-tengok rumah pusaka sekali. Rumah tu jadi tempat budak-budak nakal melepak. Jadi, Siti minta tolong Tuk Penghulu supaya gunakan rumah tu untuk aktiviti orang kampung. Tempat belajar mengaji ke, memasak ke." Terang Siti panjang lebar.

"Siti, Mira ingat Siti merajuk marahkan kami. Yelah, kami kan..." Mira tidak mampu menghabiskan kata-katanya.
"Hish Mira ni.. Ke situ pula. Kenapa Siti nak marah? Mira kan tolong Siti jaga Amanda. Amanda pun seronok dengan Mira. Terima kasih banyak-banyak," ujar Siti sambil menepuk-nepuk lembut tangan Mira. Amanda ketawa riang dan berpindah ke pangkuan Mira. Puan Rahmah dan Encik Samad mengangguk-angguk. Gembira melihat kemesraan kedua menantunya. 


**********************************************************************************
"Amanda dah tidur?". Siti mengangguk dan tersenyum pada Halim yang duduk di birai katil.

"Apa sebenarnya urusan Siti yang penting sangat sampai berhari-hari ni? Hari tu Ayah nampak Siti dekat hospital, Siti sakit?" tanya Halim.

"Oh, yang dekat hospital tu Siti pergi berjumpa kawan Siti. Dia jururawat dekat situ. Sekali buat medical check-up. Sebenarnya kawan Siti tu ajak Siti tunaikan umrah. Siti rasa nak pergi. Itupun kalau Abang izinkan. Sepanjang tiga hari ni Siti selesaikan segala tempahan pelanggan dan urusan-urusan penting. Sebab kalau Siti jadi pergi, Siti nak pergi dengan hati yang tenang." Siti berjalan mendekati Halim dan bersimpuh di kakinya. Dia menarik tangan Halim dan mengucupnya.

"Siti minta maaf ya, Bang? Siti tahu Siti dah buat Abang risau. Siti minta maaf juga sebab tak tanya Abang dulu soal nak pergi umrah tu. Kalau Abang tak izinkan, Siti tak akan pergi. Siti rasa teruja sangat bila kawan Siti ajak."

"Salah Abang juga tak tanya betul-betul. Mungkin Abang yang tak percayakan Siti. Berprasangka dengan Siti. Tapi, kenapa tiba-tiba sangat? Kenapa tak ajak Abang sekali?"

"Siti tak fikir Abang nak pergi dengan Siti. Entahlah, mungkin datang seru? Semuanya sebab budak nakal di kampung itulah."
"Budak nakal? Abang tak faham."
"Sekejap ya?" Siti mencapai buku ungu yang sangat dikenali Halim. Dia membuka dan membaca puisi tanpa nama yang pernah dibaca oleh Halim. 
"Puisi digraffitikan budak-budak tu di dinding rumah pusaka Mama Papa. Apabila Siti baca, Siti tersentak. Kalaupun orang melabelkan mereka nakal, nampaknya mereka tahu yang penting bagi kita adalah 'kembali' pada-Nya."
"Abang punya pemahaman yang lain. Abang sangka.."
"Kembali ke rahmatullah?" tanya Siti mengusik. Halim ketawa. Dia tidak sangka malam ini dia akan ketawa bersama Siti. Kerana Siti. 
"Abang nak minta maaf sebab sia-siakan Siti selama ni. Abang mengaku Abang bukan suami yang baik." Lirih suara Halim separa merayu. Siti menggeleng-geleng sambil tersenyum.

"Abang suami yang baik sebab Abang suami yang setia pada cinta Abang. Siti bukan cinta Abang. Siti tak salahkan Abang." 
"Tapi Siti tanggungjawab Abang sejak abang lafazkan ijab dan kabul." ujar Halim tidak mahu mengalah.

"Siti tak anggap Abang tak jalankan tanggungjawab. Siti berterima kasih sebab Abang sudi mengambil Siti sebagai isteri. Iyalah, Siti tak ada sesiapa lagi selain Amanda. Dengan berkahwin dengan Siti, abang beri Siti ibu bapa, saudara, dan yang penting perlindungan. Siti tak harapkan yang lain. Sebaliknya Siti yang nak minta maaf dengan Abang." Halim berasa hairan. Maaf? Apa perlunya dia memaafkan Siti?

"Siti minta maaf sebab sepanjang berkahwin dengan Abang, Siti terlalu sukar melupakan Abang Hisham. Siti rasa seperti Siti mencurangi Abang dengan terus merindui bayang Abang Hisham. Siang malam Siti berdoa agar cinta Siti beralih buat Abang. Bukan kerana wajah Abang serupa dengan Abang Hisham, tapi kerana Abang suami Siti." Halim terharu mendengar pengakuan Siti. Sebegitu sekali Siti cuba mencintainya. Kenapa dia tidak pernah sedar.

"Siti, Abang dan Hisham kan kembar. Wajah kami seiras. Tapi kenapa Siti tidak boleh mencintai kami dengan cara yang sama? 
"Sama tapi tak serupa. Abang berkecil hati ke? Siti minta ampun, bang!" Siti merayu bersungguh-sungguh. Takut dia berdosa pada suaminya.
"Tak ada apa yang perlu dimaafkan. Abang lega sebenarnya. Siti mampu bezakan antara Abang dengan Hisham. Itu dah cukup. Siti tak perlu buang Hisham dari kamus hidup Siti. Arwah pernah jadi sebahagian daripada diri Siti. Tak perlu Abang nak cemburu pada orang yang tiada kan?" Halim menyapu air mata Siti dengan jemarinya. Sayu hatinya. 
"Abang izinkan Siti pergi ke Tanah Suci, dengan syarat Siti jaga diri dan maruah Siti. Dan Abang harap sekembalinya Siti nanti, kita akan mulakan hidup ini dengan halaman yang baru. Semoga Allah merahmati kita semua. 
"InsyaAllah, Abang. Mudah-mudahan," Ucap Siti penuh harapan. Semoga ada sinar yang cemerlang di hari depan. 
TAMAT.