Great stuff to be shared together...

Wednesday, February 9, 2011

Hikmah Di Sebalik Musibah

Dengan air mata yang masih bersisa, kami mendaftar di  Hospital Tuanku Jaafar, Seremban pada 5 Januari 2011. Doktor menemubual dan bertanya sejarah perubatan saya. Kadang-kadang jemu juga ditanya soalan-soalan yang sama selama beberapa hari di sana. Pelbagai pemeriksaan dilakukan. Setiap kali diperiksa doktor sentiasa mengingatkan kemungkinan untuk mengeluarkan bayi bagi menyelamatkan ibu. Setiap kali itu jugalah air mata saya mengalir semula. Apatah lagi selepas ultrasound menunjukkan bayi sihat dan bergerak-gerak dalam perut saya. Hancur luluh hati saya memikirkan nasib bayi yang belum sempat menghirup udara luar tapi....ahhhh..

Setiap hari darah diambil untuk menyiasat punca dan mengkaji keadaan kesihatan saya. Ultrasound dilakukan untuk mengetahui keadaan ginjal saya. Kata doktor ginjal saya mengecut. Saya pun tak pasti apa akan jadi kalau ginjal mengecut. Doktor kata, darah tinggi, fungsi ginjal dan kehamilan saya saling berkait. Tidak pasti yang mana yang memudaratkan yang mana, saling bertimbalbalik. Pemeriksaan harian menunjukkan keadaan yang statik, tidak semakin baik dan tidak semakin teruk. Para pakar dari bidang masing-masing (Obstetrik dan Ginekologi (ONG) dan Nefrologi) mempunyai pendapat yang sama. Kepada kami suami isteri mereka menyatakan risiko-risiko sekiranya kandungan ini diteruskan.

1) Kandungan ini boleh menyebabkan fungsi buah pinggang saya semakin terganggu/semakin rosak. Sehingga saya perlu menjalani dialisis. Tetapi sekiranya digugurkan, mereka tak dapat menjamin keadaan semakin baik. Mungkin buah pinggang saya akan terus rosak. Sekiranya ini berlaku, saya tidak akan dibenarkan mengandung.

2) Keadaan buah pinggang dan tekanan darah tinggi ini boleh menyebabkan bayi saya mati dalam perut atau gugur dengan sendiri.

3) Sekiranya saya ingin meneruskan kandungan, saya perlu bersedia untuk menjalani dialisis sekerap 5 kali seminggu jika didapati fungsi buah pinggang saya merosot. Sekiranya terus merosot, doktor akan tetap mengeluarkan bayi untuk menyelamatkan ibu.

Walaupun doktor tak beritahu semua tu, saya sudah tahu keputusan saya. Dan saya tahu suami saya juga begitu. Kami akan teruskan kandungan ni dan bersedia menghadapi semua risiko. Sekiranya sudah ketentuan-Nya anak ini bukan rezeki kami, sekurang-kurangnya kami mencuba. Malah doktor sendiri menyatakan mungkin inilah satu-satunya peluang kami untuk memiliki anak sendiri. Kami mesti cuba. Kata orang, Manusia punya Asa, Tuhan Punya Kuasa. Terserah kepada Allah segala-galanya.

Dalam kelemasan menghadapi dugaan ini, saya disedarkan dengan banyak perkara. Musibah datang bersama hikmah. Sepanjang berada di wad, pelbagai jenis manusia dengan bermacam-macam penyakit dapat dilihat. Kadang-kadang terfikir, apa sangatlah apa yang Allah beri padaku ini. Menjadikan saya lebih bersyukur.

Sesungguhnya Allah telah memberikan saya insan-insan yang baik sebagai keluarga dan teman. Lelaki yang terbaik sebagai suami. Saya tak mungkin mendapat lelaki yang lebih baik daripada dia yang menyayangi dan menerima saya apa adanya saya. Masa inilah saya lebih menghargai keindahan kasih sayang keluarga terutama mak ayah dan mertua. Pada ketika sepatutnya saya membalas jasa dan menabur bakti, ayah masih boleh berkata, "Kalau Angah nak buah pinggang, ambillah ayah punya sebelah." Terasa sebak membuku dalam dada. Menyedari sekarang usaha mencari nafkah terbeban di bahu suami saya seorang, ibu bapa mertua menawarkan untuk membayar hutang kereta kami. Bukankah pada usia mereka sekarang mereka seharusnya berehat dan ditanggung anak-anak, bukan menanggung? Tak apalah, biarlah kami belajar hidup bersusah-susah. InsyaAllah ada jalannya.

Dan pada waktu inilah Allah tunjukkan pada saya betapa ramainya teman-teman yang mengambil berat dan sayangkan saya. Yang sanggup bersusah-susah untuk saya. Yang menangis bersama saya. Terima kasih banyak-banyak pada Dr Huud (my old friend) yang bersusah-susah dengan urusan hospital sepanjang saya kat HTJ. I owe you a lot. Terima kasih juga pada majikan saya yang memahami dan sudi memberikan cuti yang panjang kepada saya untuk berehat. Nikmat Tuhan yang mana yang nak saya dustakan?

Sekarang saya perlu ke hospital hampir setiap minggu di samping check up rutin di klinik kesihatan. Namun, melihat perut yang semakin membesar dihiasi dengan stretch marks yang kejam, ditambah dengan gerakan yang mengujakan dari dalam, memberi saya kekuatan menghadapi segalanya. Semoga segalanya berakhir dengan selamat dan sejahtera. Amiin.

6 comments:

aizyan said...

semoga tabah ye dayah..kite doakan semoga kandungan terus sihat..kuatkan semangat tau.. kuasa Allah siapa yg tau.. kite pun sblm ni dr kata tiub fallopio kita satu tersumbat..tp alhamdulillah bila check semula normal..so jgn putus harap..sentiasa berdoa ye..

Nudabuffy said...

thank you muzai. sekarang ni fikir positif je.. Mudah-mudahan baby kita selamat.

So, macamana sekarang? hari tu awak ada operate kan? Hope awak dah sihat ya..

ummihasan said...

insyaAllah.. amiin.
banyak-banyak solat hajat.

Nudabuffy said...

Hanya pada Dia tempat bergantung harap...amiin.

Asmidar said...

sabar banyak2 ye dik.... amalkan salawat tafrijiah.... semoga Allah memudahkan perjalanan kita sebagai bakal ibu. akak pun kena darah tinggi....

Nudabuffy said...

thank you kak... Amiin..mudah-mudahan.. sedar tak sedar dah berbulan2 saya lalui debaran ni.. yang terbaru (4/4/2011), dr kata kalau terpaksa bersalin, insyaAllah baby boleh survive..Syukur..