Memasuki perkarangan rumah, terlihat ada kain putih tersidai di ampaian. Kereta segera diparkir tetapi dia sendiri berlengah-lengah untuk memasuki rumah. Dibiarkan fikiran terbuai-buai bersama alunan jemuran ditiup angin.
"Huh, nasib baik," getus hatinya sambil dilepaskan nafas yang sungguh berat. Telekung di ampaian meringankan rasa bersalah yang membebani hatinya. Seperti diberikan tempoh sebelum hukuman mati. Sungguhpun telekung itu putih, itu bermakna ada bendera merah sedang berkibar. Di muka pintu, isterinya Siti sedang menanti untuk bersalaman. Siti mantan iparnya, dikahwini selepas kematian saudara kandungnya Hisham. Mak dan Ayah mencadangkan agar dia mengambil Siti sebagai isteri demi melindungi wanita itu, selain ingin ikatan yang pernah terjalin kekal utuh. Dia pun tidak pula rasa seperti dipaksa kerana hatinya terlalu sayang pada anak saudaranya, Amanda. Dia takut Siti akan membawa Amanda pergi jauh dari sisinya. Pada siapa lagi Halim dapat menumpang kasih sementelah dia sendiri tidak punya anak.
Pernikahannya dengan Siti hampir mencetuskan perang dengan isteri pertamanya, Mira. Masakan tidak, tiada wanita yang rela diduakan. Apalagi wanita yang dikahwini atas dasar cinta berserta janji sumpah setia. Mujur Mira juga kasihkan Amanda. Amanda yang comel dan keletah itu jugalah yang dapat melunturkan ego Mira. Si kecil berumur empat tahun itu begitu pandai mencuri hati sesiapa pun dengan sifatnya yang naif dan tulus itu. Namun, Halim tahu Mira terpaksa rela. Senyum di muka, bernanah di jiwa. Bagi Halim, cemburu Mira tidak berasas. Cinta Halim hanya untuk Mira. Hanya Mira, bukan Siti atau yang lain. Siti hanyalah batu loncatan mendapat kasih Amanda. Halim yakin itu.
Sepanjang setahun usia perkahwinannya dengan Siti, tidak pernah sekalipun Siti mengungkit kepincangan pentadbirannya. Tak pernah tersebut dari bibirnya yang nipis soal hak dan tanggungjawab. Yang ada hanyalah soalan-soalan rutin,'Abang dah makan?', 'Abang nak kopi?', 'Abang nak itu?', 'Abang nak ini?'. Tuhan, Siti sungguh membosankan. Seolah-olah Halim hanyalah tetamu di rumah peninggalan Hisham itu. Dia begitu hairan bagaimana Hisham boleh bercinta dan berkahwin dengan seseorang seperti Siti.
Siti banyak menghabiskan masa di rumah bersama Amanda. Siti sebatang kara jadi dia tidak mempunyai sesiapa di kampung halamannya. Dengan kemahiran dalam bidang teknologi dan seni, dia menjalankan perniagaan dalam talian menjual baju, kraf dan barang keperluan kaum ibu. Semuanya direka dan dijahit sendiri. Kalau difikirkan, Siti tidak perlu bersusah-payah bekerja. Harta peninggalan Hisham begitu banyak, tidak habis tujuh keturunan, kata orang. Kerana itu dia sambil lewa soal nafkah Siti dan Amanda. Kadang-kadang timbul syak di hatinya soal niat sebenar Mak dan Ayah supaya dia berkahwin dengan Siti. Jangan-jangan kerana takut Siti membolot sendiri.
"Ah, tidak mungkin. Siti tidak pernah meminta," bisik hati kecil Halim. Kadang-kadang Halim rasa begitu tercabar. Terasa seperti Siti memperolokkannya.
"Abang dah makan? Kalau belum, Siti siapkan". Lagi-lagi soalan itu.
"Dah. Amanda mana?"
"Ada dalam bilik kerja. Amanda tengah siapkan projek tanah liatnya."
Halim tertarik dengan pernyataan Siti lalu melangkah ke bilik kerja. Amanda kelihatan tekun di tengah-tengah bilik yang dipenuhi bahan bacaan dan pembelajaran. Bersungguh-sungguh Amanda menggentel tanah liat berwarna-warni.
"Ayah rupanya. Marilah Ayah, tengok kek Manda. Cantikk..." Amanda menggamit Halim smabil tersenyum manja. Hati Halim kembang mendengar Amanda memanggilnya begitu. Sejak umur 3 tahun, Amanda sudah sibuk mahu ke sekolah. Ternyata dia seorang anak yang pintar.
"Cantiknya..Amanda buat sendiri ya?
"Ibu ada tolong. Ni biskut untuk ayah. Manda buat sendiri tau".
"Ye ke? Mesti sedap kan?"
"Tanah liat mana boleh makan. Apalah ayah ni," Amanda tertawa suka. Gelihati dengan kebodohan ayahnya. Halim ketawa. Dia terlupa Amanda bukan anak biasa. Perlu dilayan bicara seperti anak yang lebih berusia daripadanya.
Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Panggilan daripada Mira. Halim tahu apa hendaknya. Kalau bukan duit, pasti dia mahu Halim pulang ke sisinya.
"Abang kat rumah Siti, ya?"
"Iyalah minggu ni 'kan giliran Siti. Kenapa Sayang?"
"Abang balik ya? Abang bukan nak tidur dengan Siti. Abang nak jumpa Amanda je kan? Tak adillah Abang seorang dapat jumpa Manda, Mira pula kesunyian kat sini. Abang balik, dan bawa Amanda sekali. Setuju?" cadangan Mira dirasakan bernas walaupun dia keliru soal adil yang dikatakan Mira.
"Siapa Bang?" tiba-tiba Siti muncul di muka pintu. Halim tidak segera menjawab namun tetap memutuskan talian.
"Hmm...Siti, Abang nak bawa Amanda balik rumah Mira boleh tak? " Siti kelihatan berfikir-fikir.
"Berapa lama?" Halim agak terkejut dengan pertanyaan Siti.
"Dalam dua, tiga hari? Pasal tadika, biar Abang hantar dan jemput Amanda."
"Boleh, tapi boleh jagakan Amanda lama sikit? Siti nak minta izin Abang nak keluar selesaikan urusan Siti, tapi tapi makan masa sikit. Lepas selesai semuanya, Siti jemput Amanda.
Pucuk dicita, ulam mendatang. Kebaikan apa yang dibuatnya sehingga mendapat rahmat sebegini besar?
Tiga hari Amanda di rumah Halim, Amanda begitu seronok sekali. Halim juga berasa lebih segar dan ceria walaupun kadang-kadang dia tertanya-tanya apa sebenarnya yang dibuat dek Siti. Tapi cepat pula dia melupakan Siti apabila terdengar gelak ketawa Amanda.
"Ayah, kenapa Ibu belum datang ambil Amanda?" rengek Amanda dengan wajah sayu. Pertanyaan Amanda menerjah kotak fikirannya.
"Kenapa, Sayang?. Manda tak seronok ke duduk dengan Ayah?"
"Seronok.. Tapi Manda rindu Ibu. Ibu tak nak Manda lagi ke?"
Siti berniaga di internet. Mungkinkah dia mendapat tawaran meluaskan pasarannya? Mungkin, sekarang Siti sedang menandatangani urusniaga. Siapa tahu?
Atau Siti terperangkap dengan cinta maya. Terpedaya dengan godaan lelaki mata keranjang yang menjadikan wanita kesepian sebagai sasaran. Tergoda dengan kata manis dan janji palsu lelaki hidung belang. Atau terpedaya menjadi keldai dadah? Kusut kepalanya memikirkan Siti.
"Hai bang, teringat bini muda ke? Takkan abang pun dah terpukau dengan Siti macam mak bapak abang?" Entah kenapa hatinya terguris mendengar kata-kata Mira yang celupar.
"Mira...walau macammana pun, dia tetap isteri Abang yang sah. Sama macam Mira. Apa-apa jadi pada dia, tetap jadi tanggungjawab Abang!"
"Alah, dia ikut jantan lain lah tu. Bagus juga. Isteri nusyuz. Abang minta hak penjagaan Amanda ya?" Perasaan Halim berbelah-bahagi mendengar kata-kata Mira. Sedikit sebanyak termakan juga dengan hasutan Mira. Namun kalau benar Siti nusyuz bermakna dia suami dayus.
"Siti tu ibu kandung Manda. Lagipun, kalau dapat hak penjagaan, Mira kenalah banyak duduk dekat rumah. Jaga anak. Tak bolehlah shopping dan bersosial selalu. Amanda tengah membesar. Perlu banyak perhatian.
"Apa masalahnya, Sayang? Masa Mira shopping, suruhlah bibik jaga. Tak pun hantar rumah parents Abang. Shopping tetap shopping." Rengek Mira.
Halim seakan tidak percaya dengan sikap acuh tidak acuh Mira. Mungkin kerana itulah mereka belum dikurniakan cahaya mata. Mira belum rela mengorbankan masa dan hobi sia-sianya. Amanda mungkin setaraf anak patung beruang yang dipeluk bila-bila dia ingin. Ada kecewa bertamu di hati Halim. Adakah dia gagal mendidik Mira? Lamunannya terhenti apabila mendengar deringan telefon.
"Assalamualaikum.."
"Waalaikummussalam. Halim, ayah ni. Siti ada dekat mana?"
"Err...Halim pun tak pasti, Ayah. Tapi Siti kata dia ada urusan. Jadi Halim jaga Amanda sekarang."
"Kawan Ayah, Haji Samad, nampak Siti di hospital. Jangan-jangan dia sakit tak?"
"Sakit? Sakit apa?"
"Entah. Manalah Ayah tahu. Ayah pergi ke rumah Siti, tapi salam tidak bersahut. Telefon tak berangkat. Di hospital pun tiada."
"Dia pergi ziarah orang je kot, Ayah? Nanti Halim cari dia. Apa-apa nanti Halim beritahu Ayah."
Walaupun Halim cuba bersikap tenang, namun hatinya serta merta menjadi rawan. Ke mana Siti? Sakitkah dia? Atau dia sudah putus asa dengan kehidupan ini. Tapi bukankah dia masih ada Amanda? Mustahil seorang ibu yang begitu kasihkan anaknya begitu tegar. Tapi Halim sering merebut Amanda daripadanya, mustahilkah? Kehilangan suami yang dicintai bukahlah satu ranjau yang mudah diharungi. Mungkin selama ini Siti pura-pura kuat.
'Apatah lagi pengganti Hisham adalah aku. Aku yang tidak pernah menghargainya.'
Halim bergegas ke rumah Siti, ingin memastikan dengan mata kepalanya sendiri. Ternyata rumah itu tidak berpenghuni. Dipulas tombol pintu kamar Siti yang tidak pernah dimasukinya. Kamar yang begitu indah hiasan dan kemasannya. Kosong. Almari pakaian dibuka. Separa kosong. Siti telah pergi. Ke mana? Apa benar Siti lari bersama kekasih mayanya? Tiba-tiba Halim berasa begitu sunyi dan kosong seperti kamar yang ditinggali Siti.
Bersambung...
2 comments:
novel ke nie dyh..smbung cepat2 ek..dh smbung update yuzai..nak bacaaaaaaaa
bukan novel cuma cerita yang tak berapa pendek. InsyaAllah.. tengah fikirkan penyudahnya..
Post a Comment