Great stuff to be shared together...

Friday, May 31, 2013

Selamat Tinggal Skudai

Hmm.. mungkin bulan Jun akan jadi bulan terakhir saya bekerja. Selepas ni terpaksalah say bye-bye pada Skudai. Banyak kedukaan dekat sini tapi banyak juga kenangan yang indah-indah. Bak kata orang tempat jatuh lagikan dikenang. Heh.. Tapi tentu masih kerap lagi bertandang. Tolong-tolong mana yang patut. Cuci rezeki kata orang. Yelah, selama saya bekerja pun, banyak ponteng kalau rasa badan tak sihat. Mujurlah bos saya sungguh memahami.

Dan setelah berbagai-bagai halangan, akhirnya ada juga berita gembira menjengah. Alhamdulillah, rayuan bantuan dialisis saya dah pun diluluskan walaupun tidak menanggung keseluruhan kos dialisis. Semalam suami terima suratnya. Syukur sangat. Lapang dada terang mata. Atas jasa Encik Idris, pegawai Perkeso yang berusaha membantu walaupun staf bawahan lebih sudu daripada kuah. Perihal gaji yang tertangguh pun dah mula menampakkan sinarnya. Terima kasih sangat-sangat pada bos saya, Datuk Dr Halimaton yang mencari jalan agar saya dapat juga bayaran. Sedang berusaha mendapatkannya, mudah-mudahan ada rezeki saya. Satu persatu masalah selesai, mungkin berkat doa-doa orang sekeliling yang dimakbulkan Allah. Terima kasih semua. Saya sayang kalian semua.

Oh ya, lupa pula. Saya ada memohon bantuan daripada Baitulmal selepas permohonan pertama ke Perkeso ditolak. Selepas diluluskan, suami saya call semula baitulmal memaklumkan perkara tersebut. Iyalah, cukuplah satu, dah syukur sangat. Tapi pihak baitulmal minta suami hantar surat dari Perkeso dan kalau lulus, mereka akan tanggung baki selebihnya. Alhamdulillah.. alhamdulillah.. Kalau dapat syukur, kalau tak dapat pun tak apa. Mungkin hak orang lain. Memang itu yang saya katakan pada suami. Kalau hak kita, kita akan dapat. Kalau bukan hak kita, nak buat macam mana. Kenalah usaha cara lain. Tapi kalau memang hak kita tapi orang menyeleweng, saya tak halalkan satu sen pun. Hehehhe.. Kejam tak?

Rasa sedih juga nak meninggalkan skudai. Yelah, susah senang kita berdikari. Selepas ni saya akan menumpang rumah mertua. Kenalah pandai-pandai bawa diri tak boleh nak malas-malas basuh baju, longgok-longgok pinggan, timbun-timbun kain, dan sepah-sepahkan rumah. Tak boleh juga bangun lambat sampai tegak matahari walaupun hujung minggu. Hehehe.. takpelah, bukan senonoh pun buat perangai macam tu. Yang penting dapat mengendeng dengan hubby 24/7. Bolehlah qada balik percintaan kami yang asyik terhalang dek jarak dan waktu. Chewah...Dan yang penting dapat buat aktiviti kegemaran iaitu jadi petani sepenuh masa. Mudah-mudahan inilah yang terbaik untuk kami. Aamiiin..

Wednesday, May 29, 2013

Medication & Diet Counselling

Apabila dah memulakan hemodialisis, ada beberapa perkara yang perlu dititikberat terutamanya pemakanan dan ubat-ubatan. Sekadar untuk perkongsian, saya nak ceritalah apa yang diberitahu oleh doktor dan nurse.

1) Perlu kawal pemakanan yang mengandungi tinggi kalium (potassium) dan phosphate. Antara makanan yang tinggi potassium & phosphate ialah tomato, potato, buah-buahan berwarna kuning (mangga, oren, durian, pisang), sayur-sayur hijau, seafood. Nampak macam makanan sihat kan? Baik untuk orang sihat, tidak untuk pesakit buah pinggang. Saya juga diajar agar merendam sayur hijau barang 3 jam untuk menyingkirkan potassium daripada sayur tu. Kiranya saya makan fiber jelah.. Yelah, kalau tak makan fiber karang sembelit pulak.

2) Pengambilan protein boleh macam biasa asalkan dari sumber yang segar bukan processed food (such as nuggets, burger, makanan dalam tin-sardin, baked bean). Takde masalah kalau setakat macam ni.. Lemah part sardin je.. hahahah.. sedap tu..:P Protein masih penting untuk menjalankan fungsinya misalnya untuk pembinaan otot dan hemoglobin.

3) Oleh sebab saya ni ada hypertension, makanan tinggi garam, ber-MSG, kicap (makanan ruji ni.. huhuhuh), sos, mi segera, jajan memang kena elak la.. Ubat hypertension makan macam biasa kecuali kalau dekat sangat dengan masa dialisis. Misalnya selalu makan ubat pagi dan petang, tapi ada dialisis waktu pagi. Jangan makan ubat pagi sebelum dialisis tu. Selepas takpe. Sebabnya, tekanan darah boleh turun mendadak masa hemodialisis. Dah rasa dah ni.. Hypotension namanya. Tetiba rasa tak cukup oksigen, nak muntah, kebas, tak selesa, pening. Biasanya diorang suruh saya goyangkan kaki dan kalau teruk sangat diorang bagi saya oksigen. Orang dah biasa tekanan darah tinggi tak apa-apa, tetiba bila tekanan darah turun jadi 100/60 dah rasa macam nazak je. Hehehehe..

4) Doktor juga pesan untuk jalan-jalan barang 30 minit setiap petang atau berbasikal. Bila saya kata kerja saya melibatkan pergerakan fizikal, dia kata kerja lain, riadah lain. Takpelah, saya rajin teman kakak saya ukur shopping complex.. Theheheh..

5) Pengambilan air perlu dikawal. Kalau ikutkan sehari cuma boleh minum lebih kurang 500 mL air je. Yang ni susah nak ikut sebab saya cepat dahaga dan suka  minum air. Bila tak boleh minum air saya mula stress. Tapi oleh sebab saya masih boleh kencing banyak, diorang bagi saya minum banyak sikit. Heheheh. Perlu berhati-hati juga dengan air tersembunyi seperti dalam buah-buahan dan makanan seperti bubur, puding dan jeli.

6) Pengambilan makanan berminyak dan berlemak pun perlu dikawal sebab kalau berlebihan boleh menyumbat salur darah.. Ni diorang yang cakap. 

7) Pengambilan kalsium juga penting. Biasanya pil kalsium karbonat dikunyah bersama makanan untuk mengikat fosfat dan mengeluarkannya melalui proses penyahtinjaan. Chewah... ilmiah gile bunyinya. Ada sorang TA kat pusat dialisis tu kata, kalau tak amik pil kalsium nanti saya jadi makin pendek. Erk! Fosfat berlebihan boleh menyebabkan masalah pada sendi dan tulang. Walaupun begitu, sumber tenusu tak boleh walaupun kaya kalsium.

Buah Ceri Liar

Salam semua.. Siapa pernah makan buah ceri liar ni? Buahnya hijau masa muda dan merah bila tua.. Manis rasanya. Buah ni saya kutip dari rumah jiran emak saya, Maksu Hendon. Saya dengan hubby konon-konon nak semai sekali lupa pula.. Buah tu sampai dah berulat.. Haru.. Mak saya cakap, mak saya pernah mengidam nak makan buah ni masa mengandung tapi tak dapat.. Mueheheh.. Oh ya, buah ceri ni juga dikenali sebagai buah kerkup.  Tapi kerkup banyak kerkup, saya pun dah konfius.

Hmm.. banyak juga penyelidikan antarabangsa tentang khasiat ceri liar ni.. Antaranya sebagai antibakteria, antioksidan, dan antidiabetik melibatkan penggunaan buah, daun dan batang pokok. Mungkin penyelidik Malaysia pun boleh buat penyelidikan juga.. Sebab pokok ni mudah tumbuh sendiri dan tak manja.. Yang penting, buahnya sedap!



Comel je buah dia

Close up sikit kasi orang kenal

Monday, May 27, 2013

New Routine

Salam semua.. lama tak menjengah blog dan kebun.. Mujurlah tanaman masih bersemangat meneruskan hidup dan dapat jugalah menuai sawi organik. Cuma brokoli masih tak muncul-muncul.. Lamanyaaa..... Tak sabar rasanya.

Hmm.. sekarang ramai kawan-kawan saya dah mula menanam. Salah satu faktornya kerana kesihatan. Kawan saya yang kena kanser baru-baru ni dah mula diet vegetarian dan organik. Nak membeli je parah la. Mahal tu.. Saya pula dah mula perlahankan aktiviti berkebun sebab nak mula clearkan laman.. Tak lama lagi dah nak say bye-bye to Skudai. Jadi petani sepenuh masa la lepas ni. Heheheh..

Hmm.. bermula 15 Mei 2013, saya dah menjalani kehidupan sebagai pelanggan pusat hemodialisis. Keputusan ujian darah pada 14 Mei menunjukkan bacaan Creatinine sebanyak 930, urea pula 23. Saya pula dah mula muntah-muntah dan rasa lemah. Tak sangka pula vomiting tu antara tanda jelas yang saya perlukan dialisis. Sebelum buat dialisis terpaksa ke Hospital Putra, Batu Pahat jumpa pakar, Dr Kee sebab saya first timer. Dia suggest saya buat transplant ginjal. Calon penderma pula adik beradik saya..Katanya kalau dapat penderma saya boleh mengandung dan beranak ramai-ramai. Tapi masalahnya, sampai hati ke saya nak ambil buah pinggang adik beradik saya. Kalau apa-apa jadi pada diorang? Tak apalah, saya pilih untuk tidak mempunyai anak. Kalau suami saya nak anak, dia boleh kawen lagi satu. Heheheh..Second choice pula CAPD/APD. Ini mungkin saya akan pertimbangkan. But not now.

Berlakon sedih.. Padahal baru lepas mengilai tengok ulangan Edisi Khas

Beginilah sambungan dibuat

After 2nd time hemodialysis....

Saya tak rasa banyak beza sebelum dan selepas dialisis. Hmm after first dialysis, saya demam dan sakit tekak. Tapi satu malam je. Sakit tekak dan batuk je yang berlarutan. Kali kedua pula, diorang salah cucuk, bengkak tangan saya, dah sama besar dengan kaki. Huhuhu.. sakit.. Tuam punya tuam jadi lebam gile. Sampai 4 kali kot cari urat baru jumpa. Wawawawa.. rasa nak nangis.. Tapi lama-lama macam imun. Cuma cemuih ya ampun tunggu berjam-jam. Lepas ni 4 jam pula.. Kematu la bontot ambe.. Nasib baik pekerja-pekerja dekat centre tu sume baik-baik dan mesra-mesra.

Sekarang ni jadual dialisis hari selasa dan sabtu. Macam leceh jugalah sebab saya masih kerja. Kes gaji saya ni masih tak settle lagi, rasa demotivated gile nak teruskan kerja. Yelah, dahlah bantuan ilat tak dapat, gaji tarak. Duit simpanan kena  tarah bukan sikit-sikit wooii.. Gunung pun boleh jadi lombong macam ni. Hahahhaha. Mulalah saya asyik emosi tak tentu pasal. Geram dengan orang-orang yang tak efisien. Pastu rasa marah tu berjangkit-jangkit, habis semua orang saya nak marah. Ramai pulak tu yang nak cari pasal. Sabor.. sabor.. marah tu sifat syaitan.. huhuhuhu.. Astaghfirullah.. astaghfirullah... alhamdulillah.. alhamdulillah..




Wednesday, May 8, 2013

Festival Konvokesyen UTM ke-50

Sekarang ni Istiadat Konvokesyen ke 50 sedang berlangsung di UTM. Bersempena dengan itu, UTM menganjurkan Festival Konvokesyen bermula 7 Mei hingga 12 Mei 2013. Jemputlah datang beramai-ramai ke UTM. Untuk maklumat dan lokasi boleh rujuk di sini---> http://www.utm.my/studentaffairs/events/festival-konvokesyen-utm-ke-50/.



Ada pelbagai jualan terutamanya kain pasang, tudung, dan pakaian. Kadang-kadang ada juga jualan dan panduuji kereta, gerai emas dan perak, beca, playland untuk kanak-kanak, wall climbing dan macam-macam lagi. Saya pun tak pasti apa yang ditawarkan kali ni sebab belum berkunjung lagi. Yang ni yang saya jumpa di facebook.






Anak Bunga Kemboja

Saya dapat biji benih kemboja daripada Emak saya. Punyalah lama nak tunggu biji benihnya matang, makan bulan rasanya. Kelongsong benihnya macam kacang, bijinya pula panjang dan  berbulu. Saya semai tak hidup satu pun, tapi suami saya semai hidup pula. Mak saya kata, yang ni warna merah menyala. Anak pokok dialih ke dalam cawan mi segera, pasu kecil dan botol kitar semula. Pokok kemboja yang ditanam daripada biji benih ni cantik dijadikan bonsai sebab ia akan membentuk bonggol gemuk dipangkal pokok. Hmm.. saya keliru sebenarnya, sebab ada kemboja berbentuk macam corong, ada yang tidak. Yang penting, mereka memang comel.




Tuesday, May 7, 2013

Diari Fertigasi : Penyediaan Tapak







Seperti dijanjikan, saya letakkan sedikit gambar tentang projek fertigasi yang baru dimulakan. Ini kalau diikutkan adalah back up plan kami kalau-kalau saya dah tak larat nak bekerja di makmal. Sekarang sangat cepat letih dan sakit kepala. Makan pun ada kuota. Walaupun sangat berselera dan lapar, tapi kalau lebih daripada sepatutnya saya akan termuntah. Nak slim kot. Heheheh. Hubby cakap dah kurus sikit. Yeay! Tapi berat baru turun sekilo je. Cepatlah besar wahai pokok-pokok semua. Saya dah tak sabar nak menuai.