Great stuff to be shared together...

Thursday, February 28, 2013

Luntur

Apa yang luntur?

Semangat luntur.

Kerajinan luntur.

Tenaga luntur.

Jiwa luntur.



Arghh.. bebaskanlah aku daripada aura negatif ni Ya Allah. Stressed, Depressed, tension. Senang kata diliputi negativiti.. Bermacam-macam perkara yang tidak menyebelahi diri ini. Yang terbaru, mendapat berita salah seorang sahabat terlantar di meja bedah untuk kali keempat. Tumor di bahagian dada telah pun menjadi kanser walaupun berkali-kali telah dibuang. Kali ini membuang tumor di kawasan paru-paru. Allah.. baru sahaja beberapa minggu yang lepas ke majlis resepsinya. Patutlah dia kurus sahaja. Ingatkan jaga badan rupanya ada yang disembunyikan.

Kata seorang sahabat lagi, geng kami banyak dugaan hidup. Macam pas baton pulak masuk hospital. Sabarlah sahabat-sahabatku, Allah tengah bagi kita special treatment, special care, special attention. Peringatan untuk diri sendiri juga. Semoga kita jadi insan yang sentiasa bersyukur.

Astaghfirullah.. astaghfirullah..

Ya Allah, lindungi dan selamat sejahterakan lah sahabat saya, Nordiana Nordin yang sedang diduga-Mu. Sembuhkanlah penyakitnya.

Berikanlah kami ketenangan, kesabaran, dan keteguhan iman seperti kekasih-kekasih-Mu.

Berikanlah kami kejayaan di dunia dan di akhirat.

Langkah Kecil, Impak Besar

Dunia kita semakin tua. Semakin banyak penyakitnya. Kalau kita tak mampu ubati, jangan pula kita menambahkan keparahannya, betul tak?

Banyak perkara yang saya selalu fikirkan, kadang-kadang sampai terbawa-bawa dalam mimpi. Selalunya tentang sikap manusia yang tak tahu menghargai alam. Saya bekerja dalam universiti. Sepatutnya dipenuhi dengan orang-orang yang terpelajar. Tapi sakit mata hari-hari saya melihat sampah sarap di bahu-bahu jalan. Bekas makanan polisterina, botol air, botol minyak pun ada? Alahai... Lagi sakit mata bila orang yang rapat dengan kita buang sampah merata depan mata kita. Sakit hati dengan diri sendiri sebab tak mampu nak menegur. Penakut!

Saya pernah menegur sepupu-sepupu kecil saya (dengan budak-budak beranilah), supaya mengutip kembali sampah yang dibuang bukan di tempatnya. Tapi tiba-tiba ada orang dewasa yang lalu dan membuang sampah betul-betul di depan mata kami. Lalu adik-adik saya pun berkata, "Orang tu buang, boleh je". Huhuhu.. Sudahnya saya yang kutip dengan hati sebal.

Saya pernah diberi peluang untuk menyertai sebuah seminar dan kursus di Jepun. Jujur saya katakan, saya sangat cemburu dengan Jepun. Negaranya bersih, rakyat berdisiplin. Walaupun Jepun pernah menjajah kita, apa salahnya kita contohi perkara yang baik?

Banyak cara sebenarnya nak mensyukuri nikmat Allah dengan menghargai alam.

1) Bercucuk-tanam
Mungkin orang melihat gardening sebagai hobi yang leceh, kotor dan comot. Sedangkan hakikatnya, bercucuk tanam bukan sahaja memberi kepuasan apabila melihat tanaman kita subur dan mengeluarkan hasil, tapi dapat menenangkan emosi dan membekalkan keperluan paling asas, oksigen. Saya ada terbaca di mana-mana (tak ingat), "Apakah benda lain selain tumbuhan yang mampu membekalkan oksigen?". Selain dapat mengurangkan perbelanjaan dapur, kita juga dapat memastikan keselamatan dan kebersihan tanaman kita daripada bahan kimia.

2) Say No to Disposables
Saya adalah penyokong kuat cloth diapering walaupun saya tiada anak. Saya memberikan cloth diapers sebagai hadiah untuk anak saudara saya dengan harapan kebaikan penggunaan cloth diapers akan tersebar. Saya juga adalah pengguna cloth pad. Bagaimanapun, saya tetap berterimakasih dengan pencipta dispo pads sebab masa saya masuk wad dulu disposable adalah lebih praktikal. Tapi itu adalah pilihan terakhir.

"Diapers made up 3.4 million tons of waste, or 2.1 percent of U.S. garbage, in landfills in 1998 -- the last year this information was collected, according to the Environmental Protection Agency. Diapers in landfills in underdeveloped countries are especially problematic because they often aren't properly disposed, and excrement leaks into the local water supply."

3) Reduce, Reuse and Recycle
Reuse and recycle ni antara perkara yang paling mudah tapi tak ramai yang buat. Kebetulan pagi tadi, semasa bersarapan di depan tv, TV3 telah mewawancara Datuk Haji Zaini Mohd Nor daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam. Rupa-rupanya mereka telah melancarkan suatu program bernama Bank Kitar Semula.  Menurut Datuk Zaini, program ini bertujuan untuk mengurangkan kapasiti sisa pepejal yang dikeluarkan dari setiap rumah, yang mana purata  berat sampah bagi setiap individu ialah 0.5kg seorang. Program ini memberi fokus kepada pelajar sekolah di mana pelajar-pelajar akan digalakkan untuk mengumpul barang-barang yang boleh dikitar semula kemudian di bawa ke sekolah untuk ditimbang dan dinilai, serta diberi insentif dalam bentuk tabungan. Semua nilai barangan ini dicatatkan dalam sebuah buku seperti 'buku akaun'. Ini telah dijadikan salah satu kurikulum di sekolah (belum semua), sama ada dinilai secara individu atau kelas, atau sekolah.

Pheww.. alhamdulillah, akhirnya nampak sinar harapan di Malaysia tercinta ni. Nampak macam kecil je, yelah budak sekolah je kan. Tapi budak-budak sekolah ni mesti balik rumah dan bercerita pada ibu bapa dan keluarga. Tidak dinafikan, wang adalah motivasi yang sangat kuat. Lepas ni, kalau diorang nampak tin minuman, botol-botol plastik dan kaca, surat khabar, kotak kertas dan lain-lain, tentu mereka nampak, wang wang wang. Silap-silap haribulan berlaku perebutan sampah jalanan pula. Hahahha. Saya sependapat dengan Ally dan Nurul Syuhada, kenapalah zaman saya sekolah dulu takde semua ni? Kalau tak, tentu saya dah kaya raya sebab saya rajin kutip barang kitar semula. Hewhewhew. Ikhlas saya katakan, usaha ini suatu  perkara yang baik. Mula-mula dengan insentif, lama-lama ia akan jadi budaya dan kebiasaan untuk mengekalkan kebersihan. Selain memberi kesedaran tentang peri penting kebersihan, pelajar juga boleh dididik dengan budaya menabung sejak kecil.

Melalui blogwalking saya ke blog kawan-kawan gardeners, hati saya agak riang sebab saya tahu ramai yang mengamalkan kitar semula. Terutamanya untuk dapatkan pasu free. Hahahha.. Kakak saya menggunakan surat khabar lama untuk dijadikan bekas telur yang comel. Jimat belanja tau. Terima kasih saya ucapkan kerana usaha-usaha anda tersebut.

4) Memanfaatkan sisa dapur.
Melalui pembacaan saya, sisa-sisa daripada dapur pun banyak kegunaannya. Mungkin nampak macam tak boleh kitar semula, tapi boleh dimanfaatkan dengan cara lain. Misalnya, sisa sayuran boleh dijadikan kompos, kulit telur boleh jadi baja dan mengalkalikan tanah. Hampas teh dan kopi pun boleh jadi baja, selain boleh digunakan sebagai skrub badan. Ahh.. banyaklah kegunaan sebelum terbuang begitu sahaja. Oh ya, saya pun baru berjinak-jinak membuat sabun daripada sisa minyak gorengan. Kononnya untuk digunakan di makmal. Tapi orang tak sudi la nak guna sebab ada masa bau ikan goreng macam keluar. Hahhaha. So saya akan guna untuk mencuci pisau potong getah atau untuk mencuci tangan yang berminyak jelah.

Untuk lebih maklumat tentang Bank Kitar Semula, boleh download file PDF di SINI.


Wednesday, February 27, 2013

[Bunny] Kelahiran 22/2/2013

Dua ekor ibu arnab yang bunting akhirnya beranak. Salah satunya perut dah terlalu besar dan sepatutnya due lebih awal. Tuan arnab dah risau takut baby arnab lemas dalam perut. Sebelum ni dah pernah berlaku sebab anak arnab terlalu besar dan susah nak keluar. Dalam kejadian sebelum ni, selalunya semua anak mati. Ada yang tiga ekor, ada yang tujuh ekor, mati semua.

Ibu yang beranak ni warna kelabu putih dan seekor lagi putih muka kembang. Yang kelabu putih nilah yang perut besar macam nak pecah tu. Patutlah perutnya besar sangat, bunting sepuluh ekor rupanya. Yang putih pula, enam ekor anaknya. Untuk memastikan keperluan susu mencukupi, hubby bahagi sama rata jadi 8-8. Tapi semalam dia kata ada dua ekor yang lembik, masing-masing seekor setiap ibu. Huhuhu.. kesian..

Ibu putih Kelabu

Anak yang dijaga Putih Kelabu

Anak yang dijaga Si Putih
Ibu Putih

Monday, February 25, 2013

Labu Manis

Kepala sakit.. jadi malas nak tulis banyak-banyak..

Along
Angah
Uda
Alang




Labu tanaman suami yang ditanam dicelah-celah rumpun keladi makanan si ikan kaloi. Dapat keladi, dapat labu, tanah pun sejuk dan lembapan tak cepat hilang ditutupi pokok labu. Alhamdulillah adalah beberapa biji. Hand-pollinated guna je sembarangan bunga labu sekeliling rumah mana yang ada. Lepas n mungkin boleh cuba resipi pai labu manis yang dikongsi Encik Iskandar dan Puan Zaitun kebun tanamsendiri.com. Mungkin Heheheh.

Friday, February 22, 2013

Bunga Pukul Empat

Saya pun dah tak ingat berapa lama dah saya tanam pokok ni.. Dalam dua ke tiga bulan lepas.. Mungkin lebih lama. Cubaan menanam bunga untuk kesekian kalinya selepas kegagalan keembong, cornflower, zinnia, sunflower, stock astral etc etc.. Perghh.. Begitu banyak kegagalan yang saya tempuh. Sungguh menghiris hati.

Pokok jenis sama daripada biji benih dari induk yang sama ditanam oleh emak saya di halaman rumah kakak dah lama berbunga lebat malahan telah pun bertukar menjadi biji benih. Begitu juga dengan pokok keembung walupun rendah tapi bunganya sungguh lebat. Pokok cili bom yang saya tanam dan beri sepokok padanya juga telah menghasilkan pokok yang berdaun lebar seperti daun sirih, manakala buah yang sebelum ini kecil comel telah menjadi besar dan panjang laksana capsicum pula layaknya. Argghhh.. sungguh iri hati saya dibuatnya. Hahahahha..Mungkin Tuhan tidak mahu saya menjadi psiko maka Dia telah memujuk hati saya.

One bud only

Pokok je tinggi. Nampak tak sihat.

Sudah kembang
 Kenapa dipanggil pokok pukul empat ya sebab dia kembang wakt pagi. Ke waktu dia mula kembang pukul empat pagi?

Wednesday, February 20, 2013

Harga Silver dan Emas Terjun

Okey, sebenarnya perkara ni memang dijangka. Biasanya kalau ada musim perayaan harga akan turun. Harga spot pada hari ini menurut laman web NUBEX ialah RM 160.90/g bagi emas dan RM 2.96/g bagi perak. Manyak murah wooo.. Tapi apakan daya, tengah kekeringan fiat la pula... Mampu tengok jelah.. Sob sob.. Jadi kepada sesiapa yang ada fiat lebih, time nilah nak restock aset. Jangan lepaskan peluang. Kalau nak survey harga emas dan perak di pasaran terbuka Facebook, oleh lihat di

EMAS - Gold Lot Shop -http://www.facebook.com/groups/gold.lotshop/

PERAK -Silver Lot Shop - http://www.facebook.com/groups/silverlot.shop/

Nasihat ikhlas saya, jangan sampai ketagih pula ya!

Arnab Untuk Dijual - Panda, Pondo, Pindi (Edited)

Rumah-rumah arnab belum upgrade lagi. Ibu yang bunting ada dua ekor tunggu hari. Yang remaja pula dah nak kena asing sebab sebok nak mengawan. Yang jantan tak boleh duduk sekandang nanti bergaduh. Yang masih menyusukan anak perlu ada ruang sendiri. Nak sembelih selalu, jemulah pulak asyik makan arnab kan. Jadi, suami suruh buka jualan untuk tiga ekor budak ni. Mereka ni adik beradik. Lahir pada 2 Januari 2013 tapi takde surat beranak. Dah kacuk banyak jenis ni. Arnab New Zealand White kawen dengan Arnab Kampung pastu kawen dengan Lionhead. Tu yang ada rupa arnab kampung, ada yang jadi new zealand white dan ada yang jadi lion head. Berat badan pula sekitar 900 gram ke 1 kg.

Pondo. Betina. All white dan gebu.


Pindi. Gebu kan? Betina Putih Coklat.

Pindi pandangan depan.
Panda. Jantan. Perbezaan dengan arnab dibawah dibahagian jambul.

Ini pula bukan panda walaupun  warna dia macam panda. Ini anak ibu lain. Belum sesuai dijual.
Sorry ini bukan Pondo.Ini Nama dia Badut, baru je mati hari tu.
Tiga Abdul. Abdul Panda, Abdul Pindi, Abdul Pondo.

Harga seekor ialah RM 30. Kalau ambil dua ekor RM 50.
Sebarang urusan pembelian boleh hubungi suami saya melalui panggilan telefon atau sms ke:
Hambali 013-7753249. Lokasi ialah di Kampung Tengah Rengam, Kluang. Tapi boleh deal jumpa dekat mana-mana kot. Heheheh.

p/s~Saya syak suami saya tak sampai hati nak sembelih diorang sebab diorang ni sangat manja dan cumil.

Beza Ikan Linang dan Belut

entri ini dibuat khas untuk kakak Puteri Purnama. Sebenarnya saya juga pernah menimbulkan persoalan ini kepada suami saya. Antara jawapan yang diberikan dan yang dijumpai di layar maya ialah:

1) Ikan linang adalah sejenis ikan sedangkan belut tidak. Sebab itu orang tak panggil ikan belut. Ini hubby yang kata. Kalau salah jangan ikut. Hahaha. Tapi dalam bahasa inggeris, kedua-dua belut dan ikan linang dipanggil eel.

Sisi tepi ikan linang (sumber google)
Sisi tepi seekor belut sawah.


2) Ikan linang mempunyai sirip di kiri kanan kepalanya. Belut pula badannya bulat sahaja.

Belut



Ikan linang (Sumber Hanafiah the Fish Farmer)
3) Menurut wikipedia pula, ciri khas bagi belut ialah tidak bersisik (atau hanya sedikit), dapat bernafas dari udara, bukaan insang sempit, tidak memiliki kantung renang dan tulang rusuk . Belut adalah sejenis haiwan hermaprodit iaitu berubah jantina. Semua telur belut yang baru menetas akan menjadi belut betina dan apabila mencapai umur dan saiz tertentu. Biasanya belut besar adalah belut jantan.

4) Nama saintifik Belut ialah Monopterus albus (belut sawah). Ikan Linang pula Anguilla Mauritiana (Ikan linang kuning)

5) Ukuran maksimum bagi belut ialah 1 m manakala ikan linang boleh menjadi sangat besar. Suami saya cerita, pernah ada kes ikan linang makan orang. Tiada bukti sahih mengenai kejadian ini.

Ikan Linang atau dikenali sebagai sidat di Indonesia (sumber)
Lagi gambar sidat (sumber)

6) Warna belut adalah bervariasi, ada yang kelabu, kehitaman, kecoklatan, hijau zaitun dan kekuningan. Ada juga dalam pembacaan saya terjumpa perihal belut putih. Pernah berlaku kegemparan apabila belut berwarna merah di Lishan, China (klik link untuk baca). Menurut mertua saya, belut yang berwarna kuning ni lebih sedap daripada yang hitam. Saya belum pernah makan yang hitam.  Manakala ikan linang pula warnanya tak jauh berbeza dengan belut iaitu gelap di bahagian atas, berperut putih atau kuning, atau berbintang di seluruh badan. Yang pasti ikan linang kuning mestilah warna kuning.

Sunday, February 17, 2013

Rezeki Musim Hujan

Hanifan (Adik Ipar) dengan hasil tangkapannya.. 

Kelebaran belut berbanding saiz pisau dapur biasa

Haruan kecil berbanding tin makanan kucing

Haruan besar dibandingkan dengan botol cecair pencuci pinggan. Hampir satu kilogram beratnya.
Pendek kata, alhamdulillah.. Ada juga rezeki suami musim hujan ni walaupun jarang dapat menoreh getah atau buat kerja-kerja kebun. Nak meracun, membaja semua tak boleh. Memancing dah jadi hobi baru saya. Hehehe..

Thursday, February 14, 2013

Food Poisoning

Baru berkesempatan nak tengok blog. Kepala senoneng je sejak minggu lepas. Ingat tak saya tanya pasal overdose collagen? Ni bukan side effect collagen ya, tapi benda yang saya makan bersama collagen tu.. Bukan COLLAGEN tapi NUTRIGEN. Huwaaa...

Mulanya saya tak tahu apa punca saya asyik pening kepala, nak pitam, nak muntah. Kemuncak dia hari jumaat, sampai bawa motor sambil nangis takut tak sempat sampai rumah. Kelmarin siap muntah habis keluar isi perut. Rupa-rupanya Nutrigen tu dah expired la.. Saya ni memang tak reti nak bezakan rasa dah expired ke, dah basi ke. Selalu kalau ada makanan lebih semalaman, memang ke tong sampah la. Hubby yang perasan sebab time dia minum dia kata rasa pelik. Saya minum sedap je. Bila check, tarikh luput dia 23/12/12.. Perghh.. dekat dua bulan dah luput.. Baru je beli hujung minggu hari tu kat Giant. Brengsek punya Giant. Patutlah buat promosi. Kitorang beli dua paket, nasib baik satu lagi expiry date dia bulan depan.


Dah 4 botol saya minum. Yang last baru hubby perasan.

Jadi pengguna-pengguna yang bijak sekalian, silalah periksa tarikh luput makanan sebelum dibeli ya terutamanya kalau ada promosi atau dibeli di GIANT. Hehehe.. Semalam terus rasa takut nak makan takut muntah-muntah lagi.. Pastu kepala pening bangat. Kalau boleh rasa nak tebuk je. Hahahah.. Hari ni alhamdulillah dah sihat tapi pindah pulak dekat hubby.. Kesian dia..

Makanan orang sakit. Bubur nasi, ikan bilis, telur dan milo panas.

Thursday, February 7, 2013

Wednesday, February 6, 2013

Overdose Collagen

Siapa tahu apa side effect kalau overdose makan collagen? Kakak saya bagi collagen yang dimasak macam agar-agar tu. Dia bagi yang dah siap masak dan diletak dalam bekas-bekas kecil. Saya lupa nak tanya dia berapa banyak sekali makan. Yang saya ingat dia suruh makan dengan jus untuk hilangkan bau dan rasa hanyir. Saya bantai curah air nutrigen. Konon-konon nak jimat saya budget setengah bekas sebelum tidur dan setengah bila bangun tidur. Dah melantak baru ingat nak tanya. Sekali adik saya cakap sekali makan sesudu je. Setengah bekas tu bersudu-sudu kot. Hohohoho.. Sedap je saya makan. Siapa tahu share eh? Saya cari kat internet kebanyakannya citer kalau yang dalam bentuk suntikan. Kalau yang orally administered ni biasanya sebabkan water retention je. Lepas tu banyak info berorientasikan business so banyak yang kata takde side effect.. Betulke?

Monday, February 4, 2013

Cameron Highland Trip Kali ke 4 Sudeyy

Ya..sudah kali keempat ke Cameron Highland. Adess.. macam dah takde tempat lain dah nak pergi gamaknya.. Tapi apa nak buat, inilah tempat yang saya suka, kenang dan rindu. Dengan suasananya, suhunya, tanam-tanamannya, kesegarannya, keramahan orang-orang CH, kemeriahan pasar malamnya. Daripada pertama kali saya pergi kalau tak silap saya pada tahun 2003 sampai la ni, tak banyak bezanya.

Pengalaman pertama sampai ke CH paling adventurous kot. Masa tu saya pergi ekspedisi mendaki 3 gunung iaitu Gunung Korbu, Gunung Gayong dan Gunung Yong Belar. Muda belia lagi masa tu. Masih 18 tahun lagi ketika kejadian. First timer dan paling junior dalam ekspedisi tu, so secara automatiknya yang paling kong la (cepat pancit). Sampai satu tahap, dah tak mampu angkat kaki, saya merangkak je. Siap kena perli dengan senior, "Nasib baik ko ada siku dengan lutut kan?".. Perghh pedas.. First time kot, terus ekspedisi besar, bawak beg 15 kg. Turun gunung kaki dah bengkak macam orang mengandung 9 bulan. Oleh sebab cuaca tak baik, hujan sepanjang minggu, track hancur. Guide ekspedisi cadangkan kami turun dekat cameron walaupun plan asal nak turun dekat kelantan. Kami turun ke kebun sayur kenalan guide kami. Malam tu kutip sayur segar dan masak. Selepas tu diangkut beramai-ramai naik hilux ke tanah rata kalau tak salah. Berkhemah di tapak perkhemahan. Lepas tu, boleh pulak gi jalan kaki pergi pasar malam Brinchang. Gilosss... Jiwa muda le katakan. Esok gi tumpang mandi shower kat berek Polis Cameron Highlands. Bila pikir0pikir balik, macam tak percaya pula saya pernah melalui semua tu. Muka tebal betul sekor-sekor. What a memory. 

Kali kedua pergi melancong dengan housemates, Wani, Kak Siti dan Noen. Masa ni sume bujang trang tang tang. La ni semua dah kendong anak, Kak Siti dan Wani dah dua kot. Hahahahha..Masa ni kenangan temper tunggu bas. Patutnya pukul 8 malam, sampai pukul 12. Pastu beli tiket ke Tapah, alih-alih belum sampai Tapah dah kena turunkan. Mengamuklah.. Hahahha.. Pastu driver bas bayar duit utk tambang bas sangkut-sangkut ke Tapah. Tapi tambang tu tak cukup sebenarnya. Ciss.. Nasib baiklah CH sejuk, cool sikit kitorang. Hehehhe.




Kali ketiga last year masa balik daripada majlis nikah adik ipar dekat Kuala Krai. Kali ni pergi berempat dengan Kak Pojit dan Abg Awie. Kebetulan bukan musim cuti sekolah, jadi harga penginapan agak berpatutan. Kami dapat apartment 3 bilik dekat dengan Hotel Heritage, cuma RM180 semalam. Oklah sebab memang luas dan selesa. Ada dapur lengkap lagi.

Yang terkini ni pulak memang plan masa public holiday. Mak aihh sewanya melambung sampai dua kali ganda. Apartment kitoang duk hari tu automatik jadi RM 350. Melampau gile. Cari punya cari, Kak Pojit dapat juga yang agak murah, apartment 3 bilik, RM250 per night.. Puas hati sangat. Rumah lengkap dengan dapur, kuali periuk belanga pinggan mangkuk, peti sejuk, tilam, bantal dan selimut ekstra. Cuma parking je kantoi. Hahhaha.. Kali ni duk dekat Puncak Arabella. Dekat dengan MARDI CH. So tempat pertama haruslah merayap ke Mardi. Tapi agak mengecewakan la. Sebab macam tak terjaga sangat. Tempat yang meriah cuma dekat tempat jualan tanaman je. 

Tempat wajib haruslah The Big Red Strawberry Ecotourism Park. Kat sini lah kami memborong bunga ros, kaktus, bunga zaleha, strawberi dan produk-produk lain. Saya ada beli strawberi coklat dia. Boleh tahan sedapnya. Tapi mahallah. Sob sob sob. Kordial strawberi dia pun boleh tahan. Beli juga salad untuk makan malam 3 pokok. Sepokok besar cuma RM2 sahaja. Tidak lupa mengepow hubby makan strawberi dengan fresh cream. Alah, gedik nak feeling makan strowberi atas bukit. Bila lagi kan?

Yang paling happy pastilah my nephew, Nasrudin. Dia ni memang budak yang aktif. Turun naik tangga selamba je. Berlari-lari sana sini. Bergilir-gilir la mengejar. Maknya, Kak Laila tengah mengandung 6 bulan. Tentulah tak larat.

Apa yang pasti, walaupun dah berkali-kali ke sana, tetap dapat menggembirakan saya. Panjang umur, inshaaAllah sampai lagi ke sana.

P/s : Tempat idaman yang satu tu, mudah-mudahan Pemiliknya sudi menjemput ke sana. Aamiiin.

Masak-Masak Hujung Minggu

Hujung minggu sentiasa dinantikan sebab waktu tu je lah dapat jumpa dan mengada-ngada dengan husband. Hehehe. Pastu time tu jelah kot saya masuk dapur nak memasak. Kalau tak, alamatnya masak kat kedai jelah. Kepulangan suami membawa hasil tangkapan istimewa iaitu B. E. L. U. T. Belut! Yummy! Siapa sini tak makan belut?

Belut ni saya tak pasti pulak masuk kategori ikan ke tak. Tak pernah pulak dengar orang panggil ikan belut. Belut popular digunakan secara tradisional untuk merawat penyakit kulit. Macam sepupu saya, dia bagi anak dia makan sup belut, sekarang anak-anak dia kulit mulus je. Pernah juga tengok di Majalah 3 yang menunjukkan ada lelaki makan hempedu belut mentah-mentah untuk meningkatkan libido. Dan saya ada juga terbaca, belut kaya dengan omega 3 dan sesuai untuk semua peringkat usia termasuk bayi yang sudah mula makan makanan pepejal. Nanti nak suruh Kaklong bagi Amni (my niece) makan belut la sebab kulit dia tak cantik.

Gambar belut dalam phone suami la pulak. Belut ni di pancing di kolam ikan ternakan mertua saya. Asalnya suami melayankan kerenah saya yang mengaruk sebab tak berjaya pancing ikan haruan tapi asyik dapat anak ikan je. Anak ikan tu dipotong, di pasang pada tajur (joran yang dibuat guna pelepah sawit) dan ditinggal. Dekat-dekat maghrib tu pergi jenguk sekejap, dah mengena. Dapat lah seekor. Lepas tu kemaruklah.. Tiap-tiap hari pasang. Alhamdulillah, setiap hari ada saja yang mengena. Ada yang besar dan ada yang kecil. Dapatlah lebih kurang 10 ekor untuk seminggu pasang tajur.

Sup belut hasil air tangan suami.
Dua hari kami makan belut. Hari Sabtu makan sup belut campur dengan kailan segar dari laman. Ya Allah, memang nikmat dunialah. Hari Ahad goreng dengan garam dan kunyit je. Personally saya lebih suka yang goreng, lebih terasa erti kata belut yang sebenarnya. Kekekeke.. Ini semua poyo!

Cukuplah cerita belut. Hujung minggu juga merupakan hari kami berkebun bersama-sama. Alihkan anak-anak sawi, semai benih-benih baru. Dan juga menuai untuk masak makan malam. Cauliflower kebanggaan suamiku akhirnya dituai dan masuk sekali dalam nasi goreng saya. Termasuklah daun cekur dan kobis cina.


Upload gambar tuaian jelah. Nak upload gambar nasi goreng dah tak rupa nasi goreng bersayur. Dah rupa sayur goreng bernasi. Hahaha.. Yang penting big boss makan dengan berselera dan bertambah-tambah. Betullah orang kata, tak rugi bercucuk tanam. Dan baru-baru ni ada terbaca, akan tiba suatu masa nanti, orang akan sanggup bayar makanan dengan emas. Hmmm..

Friday, February 1, 2013

Selepas Cuti..

Lama juga saya tinggalkan rumah.. Selang tiga hari kami balik juga sekejap menjenguk tanaman. Masa hujan berterusan selama 4 hari tempoh hari, lega juga tak perlu risaukan tanaman.. Tapi masa bercuti di Cameron Highlands tu, panas terik sentiasa di Skudai. Banyak juga tanaman yang tewas terutamanya semaian baru. Ada yang masih bertahan tapi kebanyakannya daun dah bertukar menjadi kekuningan.

Lobak ni kononnya harapkan berbunga. Terpaksa juga cabut. Sedap cuma agak kering.

Cauliflower kesayangan suamiku. Mujur masih sihat. Oh ya benih ni jenama serbajadi atau Trio.

Kailan dah gemuk. Sebahagian dah dituai untuk masak.

Kobis cina yang tak mahu bertangkup.

Kobis cina juga tapi kekeringan. Masih tak mahu mengalah, bangkit kembali lepas disiram.

Sawi.